Liwat II: Salinan asal rakaman percakapan dan fotostat berbeza


KUALA LUMPUR: Bicara dalam perbicaraan kes Fitnah II di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyaksikan salinan asal rakaman percakapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbeza dengan salinan yang difotostat.

Penelitian yang dilakukan Anwar mendapati salinan asal tertera perkataan ‘SULIT’ pada halaman satu tetapi perkataan penting itu tiada pada salinan fotokopi muka surat yang sama.
Timbalan Pendakwa raya, Yusoff cuba menjelaskan perbezaan  antara salinan asal dan salinan fotostat borang rakaman percakapan yang ditanda sebagai TWT2 tetapi Zabidin dan hadirin mahkamah tidak faham.
“Apa yang diberi kepada saya, yang didakwa sebagai sebagai salinan fotostat borang  asal, bukanlah salinan kepada borang itu,” kata Anwar.
Zabidin kelihatan agak berang dan bosan dengan Yusoff yang dilihat membuang masa mahkamah dengan meleretkan perbicaraan berhubung perbezaan salinan asal dan salinan fotostat rakaman percakapan Anwar.
Seawal perbicaraan lagi, pasukan pendakwa raya dilihat enggan memberi salinan asal waran tangkap kepada mahkamah.
Apabila ditanya Zabidin, Yusof mahu tumpuan perbicaraan diberi terhadap keterangan lisan saksi berdasarkan borang itu.
Yusoff sebelum itu menunjukkan satu dokumen kepada Anwar dipercayai salinan waran tangkap pada hari beliau ditahan pada 16 Julai 2008.
Tindakan itu dibantah Karpal Singh yang mahu salinan asal ditunjukkan di mahkamah, bukannya salinan fotostat semata-mata.
Karpal memarahi Yusoff dan mahu beliau lebih serius membentangkan kes pendakwa.
“Jangan ketawa!” bentak Karpal kepada Yusoff.
Yusoff kemudian meneruskan soal balas dan bertanya Anwar sama ada beliau boleh mengingati ada menandatangani sebarang dokumen pada hari penahanannya.
Kata Anwar, beliau ada menandatangani dokumen tertentu sebelum Yusoff menunjukkan satu  dokumen dipercayai rakaman keterangan Anwar mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah Keseksaan.
Sewaktu menunjukkan dokumen itu, gelagat Yusoff seakan-akan menyindir Karpal ‘ia salinan asal’.
Perbicaraan itu dikejutkan dengan keterangan polis yang menangkap Anwar, Superintendan Ahmad Taufik Abdullah yang mengakui waran tangkap tidak diberi kepada Anwar sewaktu beliau ditahan, sebaliknya, ia cuma diserah kepada Anwar sebaik sahaja selepas beliau sampai di IPPKL.
Dalam keterangannya, Taufik berkata, waran tangkap itu diterima daripada DSP Jude Pereira manakala arahan menangkap Anwar datang daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Bakri Zinin.
Pada perbicaraan itu, Karpal ada menyatakan hasrat untuk memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar; dan Datuk Seri Bakri Zinin sebagai saksi tapi membatal hasrat itu selepas mengadakan perbincangan di kamar hakim.
Mahkamah ditangguh pada jam 12.10 tengah hari untuk memberi peluang pendakwa raya dan peguam bela menyediakan hujah mereka selepas selesai menyoal balas saksi bicara dalam perbicaraan yang berlangsung dua hari sejak semalam.
Zabidin dijangka memberi keputusannya pada Isnin untuk menerima atau menolak barang bukti yang diperolehi sewaktu Anwar ditahan secara tidak sah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan