Mati ditikam ayah yang mabuk dan berbogel di depan rumah

SERDANG: Angkara menegur bapa yang dipercayai mabuk dan berbogel di depan rumah, seorang pekerja kilang berusia 20-an maut selepas ditikam orang tuanya itu dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Sungai Emas, Banting, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Razak Kumar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah ditikam di dada.

Difahamkan, bapa mangsa berusia lewat 40-an baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum bertindak menanggalkan pakaiannya menyebabkan mangsa menegur perbuatan bapanya itu.

Namun, padah menimpa apabila bapanya itu menikam Razak menggunakan pisau.

Setakat ini, polis masih belum dapat mengesahkan dari mana suspek mendapat pisau berkenaan, malah senjata itu juga tidak ditemui di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapa mangsa naik berang sebaik ditegur lalu bertindak menikam dada anaknya itu dengan pisau.

“Akibat tikaman itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek yang menyedari kejadian itu bertindak melarikan diri. Kejadian itu hanya dimaklumkan orang awam kepada polis kira-kira jam 9 malam.

“Polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Menurutnya, Mohd Adnan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri ditangkap kira-kira jam 11 pagi semalam di sebuah stesen minyak di Teluk Panglima Garang, kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan