Pemandu lori maut kejadian tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori maut selepas tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah bukit di kawasan perindustrian Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob, berkata mangsa, B Acutsamenon, 32, sedang mengorek tanah di bukit berkenaan bersama beberapa rakannya pada 10 pagi apabila tanah tiba-tiba runtuh.

"Tiga rakan pemandu lori itu sempat menyelamatkan diri, manakala mangsa pula tidak sempat menyebabkan ia tertimbus dan meninggal di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya.

Azman berkata, polis kini menyiasat dakwaan beberapa penduduk bahawa kawasan bukit itu dikorek secara haram.

Sementara itu, seorang pekerja am warga Indonesia di kilang berhampiran, Ayub Jumaah, 40, berkata dia terkejut melihat kejadian tanah runtuh ketika mendaki tangga di tempat kerjanya.

"Habuk tanah berterbangan dari tempat kejadian, tidak lama kemudian saya segera bergegas ke situ bersama rakan lain yang juga sedang bekerja.

"Sampai sahaja di situ, ketiga-tiga rakan mangsa yang terselamat memberitahu kami bahawa salah seorang rakan mereka tidak sempat melarikan diri dan tertimbus di tempat kejadian," katanya.

Ayub berkata, mereka mengorek kawasan runtuhan dan menemui mayat mangsa 15 minit kemudian. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan