Skandal seks video: Pertembungan fakta dan pembabitan pimpinan UMNO

Nik Nazmi Nik Ahmad
Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat semalam oleh Shazryl Eskay Abdullah, salah seorang dari tiga dalang yang menamakan diri mereka "Dato T" berhubung pembabitan mereka di dalam skandal seks video yang memfitnah Anwar Ibrahim.

Eskay menyatakan bahawa dia juga turut dirakam di dalam video tersebut. Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Eskay sendiri

Ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Johari Abdul semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman.

Pengakuan Eskay menimbulkan keraguan besar kepada jalan ceritanya iaitu kononnya dia disuruh oleh Anwar Ibrahim untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut.

Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut. Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal.

Saya juga mendesak Perdana Menteri sendiri memberi maklumbalas kepada satu laporan bahawa ketiga-tiga orang dalang ini berjumpa dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen untuk berbincang mengenai perkara ini. KEADILAN telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di pejabatnya di Parlimen petang semalam, maka Perdana Menteri memang berada di Parlimen ketika ketiga-tiga dalang ini dilihat di Parlimen semalam.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas.

Keengganan kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius di dalam konspirasi ini, tidak ubah seperti mana konspirasi tahun 1998 dahulu.

Demi membersihkan namanya dan UMNO, Perdana Menteri perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengarah Komunikasi PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan