SPR berat sebelah, paksa turun bendera di bilik Gerakan KEADILAN


MERLIMAU: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)  memaksa Wanita KEADILAN menurunkan bendera parti di bilik gerakan Permatang Serai dilihat berat sebelah, kata ketuanya, Mahani Misban.
“SPRM datang dengan polis dan memaksa kami menurunkan bendera parti kerana mendakwa KEADILAN tidak bertanding.
“Kami Wanita pertahan mengatakan bahawa bilik gerakan yang memuatkan lebih kurang 30 orang itu adalah milik persendirian yang disewa khas. Ekoran itu timbul pertengkaran mulut antara SPRM dengan Wanita,” kata Mahani.
Ketika bercakap kepada Keadilandaily, Mahani tidak menolak tindakan SPRM dan polis itu atas arahan kerajaan Umno.
“Saya pasti mereka hanya mendengar arahan Umno sebelum membuat serbuan ke rumah ini. kami turut menjelaskan kepada mereka yang Wanita tahu undang-undang pilihan raya dan rumah yang disewa adalah milik persendirian.
“Selepas mendengar penjelasan daripada kami, pihak SPRM dan polis mula beredar kerana mengakui perkara tersebut tidak salah,” katanya.
Sementara itu beliau juga menyuarakan kekesalan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana sanggup menampal poster dan kain rentang berbentuk penghinaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
“Poster-poster tersebut digantung berhampiran tempat ceramah Anwar malam tadi yang menimbulkan ketidaksenangan penyokong. Tapi SPRM hanya menurunkan poster dan kain rentang selepas dapat laporan daripada kami, agaknya kalau kami tidak lapor, mereka buat tidak tahu sahaja,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan