12 murid dakwa dicabul dua lelaki

KOTA TINGGI: Seramai 12 murid tahun lima dan enam sebuah sekolah di sini mendakwa dicabul dua lelaki yang mengendalikan sebuah kedai runcit berhampiran sekolah terbabit, sejak lima bulan lalu. 

Perbuatan terkutuk dua lelaki itu terbongkar setelah seorang daripada mangsa berkenaan melaporkan kejadian terbabit kepada guru sekolah. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, dua warga asing, berusia 21 dan 27 tahun itu, ditahan untuk membantu siasatan. 

Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencabul murid terbabit sejak Oktober tahun lalu ketika mangsa membeli makanan ringan di kedai itu selepas tamat sesi persekolahan dan kelas tambahan. 

Muhammad berkata, berikutan aduan mangsa, guru sekolah terbabit telah mengumpulkan semua murid perempuan tahun lima dan enam untuk mengetahui kejadian sebenar. 

“Polis menerima laporan daripada pihak sekolah dan siasatan awal mendapati seramai 12 murid mendakwa pernah dicabul dua suspek itu sejak Oktober tahun lalu. Polis, dengan kerjasama guru, telah merekodkan percakapan mangsa. 

"Siasatan mendapati kejadian terakhir pada 15 Mac lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Menurutnya, suspek pertama berusia 21 tahun dan mengendalikan kedai runcit itu sejak 2007. 

Kedai itu dipercayai milik penduduk tempatan, tetapi disewakan kepada suspek terbabit. 

Seorang suspek lagi adalah pembantu kedai, berusia 27 tahun. Siasatan awal polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan