Anwar : PR Tetap Dengan Perjuangan, Soi Lek Pengecut

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat(PR) tidak akan sesekali tunduk kepada saranan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek bagi membolehkan beliau menjadi orang pertama yang mengundi PKR jika parti itu sanggup memansuhkan keistimewaan orang-orang Melayu.

Malah katanya, PR langsung tidak terfikir, berniat atau merancang untuk merubah serta meminda sebarang peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sebaliknya, PR sentiasa jelas dengan perjuangan mereka untuk mempertahankan setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang nyata berbeza dengan kepimpinan Umno-Barisan Nasional(BN) yang hanya melindungi dan mementingkan kekayaan keluarga masing-masing.

"Kita tetap akan mempertahankan perkara 153 mengenai hak dan kedudukan orang Melayu,ini peruntukan perlembagaan kita. Tetapi, beza kita dengan UMNO kita apa? Kita ambil hak istimewa itu untuk orang Melayu yang miskin, terpinggir dan tercicir. Itu tanggungjawab kita," tegas Anwar dalam Ceramah Perdana di Ampang semalam.

Tambah Ketua Umum itu lagi, PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP jelas dengan kedudukan mereka yang tetap mendukung prinsip Malaysia dalam mengamalkan kebebasan beragama dan perkara yang sewaktu dengannya.

"Tidak akan ada sesiapa pertikaikannya. Islam agama rasmi Persekutuan yang mesti kita martabatkan, itu tidak dipertikaikan. Yang kita mahu, jamin kedudukan Islam terus dimartabatkan. Hak dan kebebasan agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian perlu dipelihara.Tidak ada percanggahan sama sekali," tegasnya.

Semalam, dalam satu mesej menerusi rakaman YouTube, Dr Chua berkata beliau akan menjadi orang pertama yang akan mengundi PKR jika PR sanggup memansuhkan keistimewaan orang Melayu. “Jika PKR berani meminda Perlembagaan dan memansuhkan keistimewaan orang Melayu, saya adalah orang pertama akan mengangkat tangan untuk mengundi PKR,” kata presiden MCA dalam video yang diposkan menerusi Youtube di laman partinya.

Ekoran kenyataan Dr Chua itu, Anwar menyifatkan dan melabelkannya sebagai seorang yang pengecut dan hanya mahu melaga-lagakan komponen Pakatan Rakyat.

Menurut Anwar lagi, PR tidak akan mudah dipedaya dengan tipu muslihat jahat Dr Chua yang hanya menjadi alat perkakas komponen Umno-Barisan Nasional(BN).

"Saya nak beritahu Chua Soi Lek. Kita takkan lompat atau buat kenyataan ikut selera anda (Chua). Anda tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan pemimpin Melayu yang korup. Pemimpin-pemimpin MCA tiada keberanian.

Kami (PR) akan bangun dan lawan kedua-dua pemimpin Melayu dan Cina yang rasuah,” tegas Anwar.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan