Pilihan Raya Sarawak - 13 Dun panas, sengit

wanibrah
Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 kali ini sedang menyaksikan 13 Dun panas yang boleh disifatkan panas, persaingan sengit dan sedang merimaskan calon-calon bertanding. Ia diikuti pula dengan enam Dun kelabu bagi Barisan Nasional Sarawak pimpinan Abdul Taib Mahmud. Berikut adalah jadual yang menerangkan secara ringkas fakta tersebut.


Berpandukan jadual di atas (klikkan untuk saiz besar), 10 Dun adalah dimenangi BN pada pilihan raya 2006, hanya tiga Dun (N.09 Padungan, N.28 Engkilili dan N.43 Ngemah) pihak BN kalah.

Apa pun berdasarkan perkembangan semasa dan mood kebersamaan pengundi (khususnya kalangan Dayak dan Cina) menyahut kempen "Jom Ubah" pihak Pakatan Rakyat, maka dijangkakan 13 Dun panas tersebut bakal dimenangi Pakatan Rakyat atau parti oposisi BN.

Di antara parti-parti Pakatan Rakyat tersebut, KeADILan dijangka memperolehi lima Dun, DAP bakal memenangi empat Dun dan PAS pula dua Dun.

Sementara parti-parti oposisi lain adalah dijangka SNAP mengekalkan kemenangan di Engkilili dan PCM pula akan menawan Dun Ngemah yang dulunya dimenangi calon PCM atas tiket Bebas.

Sekiranya benar, jangkaan 13 Dun ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan parti oposisi. Kemudian, kemungkinan besar DAP dapat mengekalkan dominasi di enam Dun (N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.40 Meradong, N.45 Bukit Assek dan N.59 Kidurong) yang dimenangi 2006, maka Pakatan Rakyat bersama SNAP dan PCM akan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 71 Dun. Ia belum cukup untuk meranapkan keegoan parti BN yang ditunjangi PBB dan SUPP.

Justeru, bagi meranapkan dominasi dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi 25 Dun. Ia memerlukan enam Dun lagi. Antara Dun yang dilihat berpotensi ialah mana-mana Dun kelabu bagi parti SUPP, SPDP dan PRS. Dun tersebut ialah N.25 Balairingin (PRS), N.39 Repok (SUPP), N.41 Pakan (SPDP), N.47 Bawang Assan (SUPP), N.64 Pujut (SUPP) dan N.65 Senadin (SUPP).

Apakah matlamat meranap dominasi dua pertiga Barisan Nasional akan berjaya?

Berdasarkan mood dan kesedaran politik semasa (sentimen pengundi Cina menolak BN bermula di Sibu dan kebangkitan Orang Ulu, Iban dan Bidayuh), maka bukan setakat meranap dominasi dua pertiga, lebih dari itu ialah berkemungkinan BN akan terpenggal tampuk kuasa Kerajaan Negeri!

Oleh: Wan Nik Wan Yussof, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan