Siapa buang Judin: Najib Razak atau Raja Perlis?


VETERAN JKR
Ipoh
MSSA Intl Convention - Dato' Sri Ir Dr Judin Abd Karim, D-G Public Works 1Saya tertarik dengan kolum Catatan Hujung Ahmad Lutfi Othman yang mendedahkan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato Sri Prof Ir Dr Judin Abd Karim yang dipindahkan ke jawatan yang lebih rendah hanya kerana beliau seorang pegawai kanan awam berintegriti tinggi. Judin menjadi bukti nyata bagaimana kerajaan BN pimpinan Najib Razak bermusuh dengan kakitangan kerajaan yang melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab

Judin yang dikenali oleh warga JKR sebagai seorang muslim yang selalu berpuasa sunat dan bersolat dhuha, tidak dikehendaki lagi oleh kerajaan BN disebabkan beliau bersikap tegas memastikan setiap prosedur berkaitan tender kerajaan dipatuhi oleh kontraktor. Baginya dana awam dan wang pembayar cukai tidak boleh dibazirkan begitu sahaja hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor yang disokong kuat elit politik.

Difahamkan, dalam kes kontroversi pembinaan Istana Negara (yang menelan belanja di luar jangka), beberapa keputusan Judin, termasuk untuk menamatkan khidmat kontraktor utama yang mempunyai prestasi buruk, menjadi punca beliau disingkirkan. Apatah lagi dikhabarkan pihak istana turut berada di belakang kontraktor berkenaan, menyebabkan Judin semakin mudah untuk dipencilkan. Katanya, Raja Perlis merupakan wakil Majlis Raja-Raja Melayu bagi "memantau" projek ini.

Sebagai kakitangan kerajaan, saya berasa tindakan terhadap Judin itu satu isyarat yang cukup negatif dan buruk sekali kepada usaha meningkatkan integriti penjawat awam. Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 semacam dipersendakan. Apa maknanya PIN jika kerajaan BN bertindak untuk "mengaibkan" seorang pegawai tertinggi awam hanya kerana beliau tidak bersedia untuk melayan kehendak kontraktor dan mereka yang berada di belakang kontraktor?

Justeru, saya menuntut Menteri Kerjaya Raya, Dato' Shaziman Abu Mansor, yang juga seorang jurutera awam, memberi penjelasan atau alasan sebenar mengapa Judin direndahkan kedudukannya sebegitu rupa? Jika Judin seorang pegawai tinggi begitu mudah untuk "disepakterajang" tanpa mengambil kira prosedur dan tatacara, saya tidak dapat membayangkan bagaimana nasib pegawai atau kakitangan lain yang lebih rendah pangkatnya daripada Ketua Pengarah Kerja Raya itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan