Upah 'stuntman' untuk melakonkan aksi maut pegawai kastam?

JATUH...aksi pelakon lagak ngeri profesional bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbani. 
JATUH...aksi pelakon lagak ngeri profesional bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbani.
pix_topright 
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lagak ngeri profesional melakukan empat kali terjunan dalam pelbagai posisi dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di sini, semalam, bagi mendapatkan gambaran tepat kemungkinan punca kematian Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56.

Pelakon itu memulakan aksinya dengan terjun dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga iaitu tempat terakhir mangsa berada pada hari kejadian.


Persiapan bagi melakukan aksi terjunan semula itu bermula kira-kira jam 10 pagi membabitkan seorang pelakon lagak ngeri yang ukuran badan serta pakaiannya, sama seperti dipakai Allahyarham Ahmad Sarbani. Selain itu, beberapa kru penggambaran termasuk jurukamera turut ditempatkan bagi merakamkan aksi berkenaan.



Menurut sumber yang ditemui di lokasi, empat kamera digunakan termasuk satu menggunakan jentera 'Turn Table Ladder' (tangga cakera putar) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPMKL) selain beberapa monitor (skrin) bagi memudahkan pasukan penyiasat termasuk doktor dan forensik menyaksikan terjunan itu.


“Aksi lakonan semula itu bertujuan mendapatkan gambaran kejadian sebenar berdasarkan bukti serta kesan ditemui di lokasi pada hari kejadian.



“Pelakon lagak ngeri juga bersaiz tubuh sama dengan mangsa dan berpakaian sepertinya ketika kejadian berlaku. Kos menggunakan khidmat kru penggambaran serta pelakon lagak ngeri profesional itu melebihi RM15,000,” katanya. 



Sumber itu berkata, pelakon berkenaan melakukan empat terjunan dengan pelbagai gaya pada paras ketinggian melebihi sembilan meter dan bagi tujuan keselamatan beg udara berukuran 20x30 meter persegi digunakan.


Difahamkan, terjunan yang dilakonkan itu bagi memudahkan polis mendapatkan gambaran sebenar pada hari kejadian sekali gus mengetahui bagaimana cara jatuhan dan kesan kecederaan yang dihadapi mangsa selepas terjatuh dari tingkat tiga. 


Proses siasatan dan lakonan semula itu dihentikan kira-kira jam 2 petang berikutan hujan lebat.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang turut menyaksikan proses siasatan itu berkata, ia dijalankan dengan bantuan beberapa jabatan seperti JBPMKL, St John Ambulans serta turut disaksikan wakil SPRM dan KDRM. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai proses siasatan itu dan menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. Allahyarham Ahmad Sarbani terbunuh selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM ketika hadir bertemu seorang pegawai penyiasat bagi mengubah percakapan yang dibuatnya dua hari sebelum hari kejadian iaitu 6 April lalu.



Laporan bedah siasat dilakukan terhadap arwah mendapati ia konsisten dengan kecederaan seperti orang jatuh dari bangunan.



Sehingga kini, 40 saksi terdiri daripada pegawai SPRM, KDRM dan ahli keluarga mangsa sudah dipanggil bagi membantu siasatan selain pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik mangsa.

-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan