Ameng artis pertama kena hukuman sebat

SIMPATI... Blank menghulurkan sumbangan pada Sabariah sambil diperhatikan rakan artis rock.
SIMPATI... Blank menghulurkan sumbangan pada Sabariah sambil diperhatikan rakan artis rock.
KLUANG: Ketika ditemui, baru 12 hari Ameng Spring menjalani hukuman di Penjara Kluang, namun dia mulai terasa betapa sepinya hari-hari dilalui di sebalik tirai besi. Debarnya kian dirasai menanti detik hukuman sebat 10 kali yang dikenakan ke atasnya.

Ameng sugul memikirkan hukuman itu.

“Saya terima hukuman sebat itu. Belum lagi dikenakan, tetapi saya reda,” katanya ketika ditemui di Penjara Kluang bersama rakan artis rock.

Biarpun ada artis tempatan lain terjebak dengan dadah, Ameng menjadi artis tempatan pertama dijatuhi hukuman sebat.

Ketika ditangkap polis pada 1 Februari lalu, wajahnya selamba tetapi sewaktu dikunjungi rakan artis rock di Penjara Kluang, Ameng sebak hingga menitiskan air mata.

Bukan mudah untuk Ameng menangis, tetapi Isnin lalu penyanyi lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati ini sukar membendung rasa sedihnya, terasa hiba hatinya sebaik terpandang wajah lapan artis rock daripada lapan kumpulan rock membuat kejutan melawatnya di penjara.

Sejak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka kerana memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada 12 April lalu, inilah julung kali Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dikunjungi rakan seperjuangan dalam bidang nyanyian.

Lebih membuat hatinya terusik apabila melihat anak kecilnya, Wan Amar Haikal, 3, yang turut bersama rombongan artis rock itu, teresak-esak kerana terlalu rindukan ayahnya.

Isterinya, Sabariah Zakariah, 41, dengan nada sebak memberitahu, memang sukar menjelaskan kepada anaknya apa yang menimpa Ameng.

“Hampir setiap hari anak saya bertanya sambil merengek ke mana papa pergi. Anak kami menghidap asma, apa yang boleh saya jelaskan setiap kali dia bertanya, saya jawab papa work (kerja), papa work. Ini kali kedua saya membawa anak saya melawat ayahnya di penjara.

“Tidak seperti sebelum ini, Ameng biasa saja ketika mula masuk penjara, tetapi kali ini nampak dia sungguh sedih. Bukan saja dia terperanjat melihat rakan artis rock datang mengejut tetapi mengenangkan anaknya yang menghidap asma teresak-esak sebaik memandang wajah ayahnya,” katanya.

Melalui sahabat baiknya, Baggio vokalis kumpulan Damasutra, Ameng berkata, dia belum dapat sesuaikan diri menjalani kehidupan di penjara.

“Berkali-kali dia meluahkan rasa kesal dan belum menerima hakikat yang dirinya dipenjara. Selama berkawan dengannya sejak kami bujang, tidak pernah saya lihat Ameng sesedih begini, tetapi di Penjara Kluang ketika memandang kami, dia menangis membuatkan saya pun turut sebak,” katanya.

Vokalis kumpulan Mega, Rahmat Tohak, yang memandu dari Johor Bahru semata-mata mahu melawat Ameng, bersimpati apa yang menimpa sahabatnya.

Baginya, dipenjara satu hal tetapi hukuman sebat yang harus dijalani menjadikan Ameng artis tempatan pertama dihukum sebat.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana sahabat saya akan disebat nanti. Soal Ameng bersalah atau tidak, hukuman sudah dikenakan dan saya hadir di sini untuk memberi semangat padanya supaya berani menerima hakikat.

“Ketika saya bertanya hal sebat, Ameng tenang dan reda menerimanya nanti,” katanya.

Selain Baggio atau Bahagia Daharun dan Rahmat, rombongan artis rock itu membabitkan Rusli Mohd Sharif (kumpulan Gamma), Yazid Alias (Sejati), Mustafa Kamal Ahmad (Satira), Nizam Pechok (Laksamana), Mohd Radzuan Yasin (Olan) dan Mohd Safee Soefjan (Utopia) serta wakil Metro Ahad.

Pihak penjara memberi masa 35 minit untuk rombongan artis rock diketuai Blank bertemu Ameng. Mereka dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu lima orang setiap kumpulan.

Mereka tidak dibenarkan mengambil gambar, malah Nizam yang baru menunai umrah dan mahu mengirim tasbih juga tidak diizinkan.

Kepada wakil Metro Ahad, Ameng memberitahu betapa dirinya kini benar-benar insaf serta menasihatkan remaja supaya tidak terjebak dengan dadah.

“Saya benar-benar insaf. Kalau boleh saya nasihat, jangan ambil dadah,” katanya.

Rutin aktiviti di penjara, Ameng berkata, ada hikmah diperoleh di Penjara Kluang kerana setiap malam dia melakukan solat taubat.

“Jika sebelah pagi saya menjalani riadah, kemudian mentelaah bacaan selain menghadiri kelas agama, malam pula saya buat solat taubat.

“Saya kini membaca muqadam semula sebelum ke al-Quran untuk memperbetulkan bacaan saya. Apa saya buat ini untuk mengisi jiwa saya supaya tidak sunyi.

“Ia juga sebagai persediaan untuk saya memasuki pertandingan musabaqah anjuran penjara, yang saya difahamkan pada Ramadan nanti,” katanya.

Secara kebetulan pada hari Ameng dikunjungi rakan artis rock, pada sebelah pagi dia bersama banduan lain terbabit menjayakan teater melalui program Mesej Dari Penjara Zon Selatan. Dalam teater itu, Ameng menyanyikan lagu Mati Hidup Semula yang dipopularkan Jamal Abdillah.

Bila diusik apakah bila bebas nanti dia akan menceburi bidang lakonan bagi memberi saingan pada Remy Ishak, Ameng cuma tersenyum.

“Tidaklah, belum terfikir ke arah itu,” katanya.

Cuma dengan statusnya sebagai banduan kelak, Ameng risau apakah masyarakat, terutama peminat, dapat menerimanya kembali.

“Ini yang saya risau, cuma saya boleh berjanji untuk mencurah kasih sayang pada keluarga sebaik bebas nanti,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan