Anjing gonggong kaki wanita yang sudah 'masak'

NGERI...kaki kanan milik seorang wanita yang digonggong anjing.
NGERI...kaki kanan milik seorang wanita yang digonggong anjing.
KUCHING: Kaki kanan yang digonggong anjing peliharaan seorang peniaga kuih memberi petunjuk kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibakar sehingga rentung di tapak pembuangan sampah berdekatan sebuah sekolah rendah di Batu Kawah, pagi semalam.

Mayat wanita tidak diketahui identiti itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kaki kanannya dilarikan anjing terbabit sambil menyalak ke arah tuannya yang secara kebetulan baru pulang dari berniaga, kira-kira jam 7 pagi.

Sebelum penemuan itu, wanita peniaga kuih berusia 50-an itu baru masuk ke rumah sewanya dan pelik apabila mendengar anjing peliharaannya menyalak tidak seperti kebiasaan.

Difahamkan, peniaga terbabit dikatakan pada mulanya tidak mempedulikan salakan anjingnya, namun hatinya tergerak untuk mengetahui punca sebenar sebelum menghampiri tempat haiwan itu berada.

Sebaik menghampiri anjingnya, dia terkejut melihat haiwan itu menggonggong kaki kanan yang tercabut dari paras lutut dalam keadaan rentung, namun tiada anggota badan ditemui di lokasi berkenaan.

Menurut sumber, wanita terbabit terus memanggil seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum menghubungi polis.

“Sebaik tiba, usaha mencari anggota badan mangsa berjaya ditemui selepas Unit Anjing Pengesan diarahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Seorang penduduk memberitahu ternampak kepulan asap beberapa hari lalu, namun tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.

“Ini kerana penghuni menyangka ada penduduk membakar tayar kira-kira jam 11 malam. Namun, pada masa sama, penduduk turut hairan kerana pembakaran berlaku lewat malam,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kaki kanan bercerai daripada anggota badan mangsa dipercayai digonggong anjing sebelum dibawa ke lokasi penemuan itu.

“Pemeriksaan ke atas mayat terbabit tidak menemui sebarang dokumen peribadi, namun hanya mengesahkan mayat terbabit adalah wanita.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan