ABD SHUKUR HARUN
"Bagaimanakah Yang Berhormat memulakan kehidupan setiap hari," begitu sekira-kira bunyi pertanyaan itu.Tuan Guru segera menjawab bahawa seperti juga umat Islam yang lain, dia memulakan kehidupan setiap hari dengan solat Subuh, selepas itu dia memastikan tiba di pejabatnya pada jam 8.00 pagi, sama seperti kakitangan kerajaan yang lain.
Rupanya jawapan ringkas itu serta mengetahui kehidupan Tuan Guru yang serba sederhana itu, duta tersebut merasa kagum. Kemudian mereka berbincang mengenai politik di mana Tuan Guru mengkritik dasar Amerika terhadap Palestin.
Demikianlah Tuan Guru Nik Abd Aziz dan kepimpinannya, kesederhanaannya, wawasannya, pemikiran dan segalanya menjadi perhatian bukan saja di dalam negeri bahkan di luar negara.
Pernah suatu masa dulu seorang wartawan Jerman yang bertemu Tuan Guru di rumahnya di Pulau Melaka begitu kagum apabila mendapati Tuan Guru - seorang yang bertaraf menteri – menjalani kehidupan sebagai orang kampung dengan membela kambing serta ayam di belakang rumahnya.
Kini, kepimpinan beliau menjadi fokus kepada seorang pakar sains dan matematik, Prof Dr Shaharil Mohd Zain yang menulis buku ‘Kepimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman’, sebuah analisis menurut perspektif sains dan matematik, iaitu kajian yang belum pernah diadakan di Malaysia sebelum ini.
Tentu saja buku ilmiah ini, mungkin sedikit sukar untuk difahami oleh orang biasa, tetapi jika diteliti dan menggunakan formula tertentu, tidaklah begitu sukar memahaminya.
Baru-baru ini Pusat Kajian Strategik Kerajaan Kelantan telah menganjurkan Majlis Diskusi Buku tersebut di mana Prof Dr Shaharil sendiri menjelaskan pandangannya dengan diulas oleh penyair dan dramatis Dinsman daripada Paksi. Majlis berlangsung di Kota Bharu dihadiri oleh para Adun PAS dan pegawai Kerajaan Kelantan serta orang ramai.
Menurut Prof Dr Shaharil, bukunya itu mengenai kepimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz yang dinilai dengan menggunakan pandangan sarjana kepimpinan (besar) sepanjang zaman. Iaitu bermula dengan sarjana tidak bernama di Alam Melayu yang menulis mengenai cakravantin (pemimpin sejagat) di batu bersurat kerajaan Melayu-Champa, 1080 Masehi (di Vietnam), diikuti dengan pandangan sarjana Barat yang terkenal, Nicolo Machiavelli yang menulis buku ‘The Prince’, 1532 dan seterusnya hingga yang terkini, sarjana Barat bernama Kirkeby, tahun 2000.
Dr Shaharil menggunakan konsep dan kaedah ‘aksiom’ dalam membuat analisis mengenai kepimpinan Tuan Guru, berdasarkan pandangan sarjana besar berkenaan. ‘Aksiom’ bermaksud ciri-ciri atau sifat-sifat mengenai seorang pemimpin yang dipadatkan dalam beberapa ciri saja, untuk memudahkan analisis.
Pengarang buku ini memulakan analisisnya dengan menjelaskan perbezaan makna antara istilah ‘lead’ (Inggeris) dengan istilah ‘pimpin’ (Melayu). Kemudian dia menganalisis kepimpinan Tuan Guru berdasarkan ciri-ciri yang dirumuskan daripada pandangan sekumpulan sarjana Islam yang terdiri dari al-Baqilani, al-Mawardi, al-Juwaini, al-Qurtubi dan Ibnu Khaldun. Dari Alam Melayu pula Prof Shaharil memilih pandangan Bukhary al-Jawhary, berdasarkan buku karya kepimpinannya yang terkenal, Taj al-Salatin.
Sebenarnya para sarjana besar itu tidak membicarakan kepimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz. Mereka hanya membicarakan ciri-ciri kepimpinan yang unggul setiap zaman mengikut pandangan mereka. Prof Shaharil lalu memadankan pandangan para sarjana tersebut dengan kepimpinan Tuan Guru. Ini dengan tujuan untuk menilai kepimpinannya dan meletakkannya di atas neraca pandangan sarjana besar dunia tersebut, iaitu berdasarkan apa yang telah diusahakan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz sepanjang 20 tahun mentadbir Kelantan. Dengan demikian secara tidak langsung juga Prof Shaharil telah mengangkat kepimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz ke taraf universal.
Dinsman dalam ulasannya mengenai buku tersebut dan kepimpinan Tuan Guru merasakan betapa perlunya imej dan kepimpinan Tuan Guru di Kelantan ini dieksport ke luar Kelantan, khususnya ke negeri-negeri yang masih diperintah oleh Umno-BN. Ini supaya rakyat di luar Kelantan itu mengetahui kejayaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Tuan Guru. Sekali gus, katanya, rakyat di negeri-negeri tersebut mendapat maklumat jelas dan jujur akan kejayaan kepimpinan Tuan Guru.
Selama ini musuh politik PAS, tambahnya, memberikan gambaran sangat negatif mengenai Kelantan dan kepimpinan Tuan Guru. Mereka menggambarkan Kelantan mundur, miskin, pentadbirannya kucar-kacir, Tuan Guru lemah dan pelbagai lagi, padal hal hakikatnya tidak begitu. Memanglah apa yang boleh diharapkan daripada musuh politik PAS.
Bayangkan setiap hari berduyun-duyun rakyat di luar Kelantan melancong, membeli belah dan makan minum semahu-mahunya di negeri itu. Oleh itu, mereka telah menyaksikan pembohongan propaganda musuh politik PAS. Sepatah kata Almarhum Bunyamin Yaakub, ada berbelas-belas jenis nasi dan berpuluh-puluh jenis lauk-pauk dan makanan lain dihidangkan oleh restoran dan hotel-hotel siang dan malam di negeri Kelantan.
Tidak syak lagi, Tuan Guru Nik Abd Aziz telah menjadi sebuah legenda, sementara Kelantan sendiri telah menjadi negeri contoh bagaimana ia membangun bersama Islam. Inilah menjadi hujah kuat Dinsman supaya imej Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru dieksport secara meluas keluar Kelantan.
PAS sendiri, secara umumnya, telah memiliki sebuah negeri – Kelantan – yang terbukti menjadi ‘role-model’ sebuah pemerintahan berdasarkan Islam tetapi telah berupaya menyerlahkan perpaduan kaum, toleransi beragama yang tinggi dan pemerintahan yang bersih dan telus.
Inilah, barangkali, menyebabkan Prof Dr Shaharil, yang secara kebetulan anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan dan penyair/dramatis Dinsman memberikan fokus istimewa kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz, mengetuai sebuah kepimpinan yang dilihat luar biasa oleh mereka.
Inilah persepsi terhadap Kelantan dan kepimpinan Tuan Guru. Ketika penulis dan Dinsman bertemu sebentar dengannya, Tuan Guru berkata, "Saya sedikit letih, banyak program, tapi saya gembira."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan