KWSP dipaksa memberi pinjaman kepada Felda


PETALING JAYA, 31 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menuntut penjelasan daripada Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman berhubung dakwaan agensi kerajaan itu dipaksa memberi pinjaman kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, gesaan itu dibuat berikutan kegagalan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan isu tersebut.

"Sebagai sebuah agensi yang mewakili berjuta rakyat Malaysia dan juga Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah KWSP, kami ingin tahu adakah benar anda dipaksa memberikan pinjaman RM6 bilion kepada Felda? Jika benar, ia untuk apa? Sebab ini bukan duit datuk kamu (Samsudin).

"Persoalannya, sampai sekarang tiada jawapan atau apa-apa kenyataan dikeluarkan. Sunyi sepi. Jadi kita boleh anggap perkara ini adalah benar," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Dr Tan yang dipertanggungjawabkan ke atas agensi itu bagi tempoh 1999 hingga 2004 turut menyifatkan perolehan Felda seharusnya mencatatkan keuntungan RM2 bilion setiap tahun berdasarkan harga minyak kelapa sawit yang tinggi iaitu antara RM2800 hingga RM3000 setiap tan metrik.

Justeru menurut beliau, alasan untuk membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion dari KWSP adalah tidak munasabah memandangkan keuntungan Felda dijangka melebihi RM25 bilion.

"Maknanya sepanjang 10 tahun lepas, Felda mendapat keuntungan berjumlah RM2 bilion setiap tahun.  Ditambah aset yang berjumlah RM 20 bilion dan tunai RM 4.5 bilion, ia berjumlah sekitar RM 25 bilion. Mana kesemua duit tersebut?" soalnya lagi.

Pada 24 Mei lalu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman mendedahkan bahawa Felda membuat pinjaman daripada KWSP sebanyak RM6 bilion.

Ia berdasarkan satu salinan minit mesyuarat di Felda Nitar 2, Mersing yang diperolehinya.

Tindakan tersebut dipersoalkan memandangkan kerajaan sebelum ini menyatakan Felda memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan