Melaka jadi ‘negeri pembangkang’ selepas PRU ke-13?

Lanh
SEBAGAI penulis saya tidak terbabit sangat dalam hal ehwal politik kepartian. Saya cuma ahli PAS biasa selepas mendaftar pada 1998. Tiga belas tahun lalu saya ahli biasa, kini pun ahli biasa. Namun sebagai seorang Islam, begitu bersemarak dalam hati saya mahu melihat hukum-hakam Islam didaulatkan di bumi tercinta, lebih-lebih lagi di negeri Melaka yang disepakati ahli sejarah sebagai pusat pengembangan agama Islam pertama di tanah air.



Hukum-hakam Islam juga terlaksana pada ketika zaman kegemilangan Kerajaan Islam Melayu Melaka (1400-1511), demikian saya diberitahu beberapa orang sejarawan.

Baru-baru ini seorang pemi
mpin veteran PAS Melaka menghubungi saya, mengajak saya berceloteh kerana katanya ada beberapa perkara penting yang hendak diberitahunya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti. Namanya biarlah dirahsiakan tetapi apa yang dicakapkannya terasa kebenaran di hati saya. Biarpun sesetengah daripada apa yang dikatakannya pahit, tetapi biarlah ditelan kepahitan itu sebelum PAS Melaka memasuki gelanggang pada pilihan raya berikutnya.

Pertamanya, beliau sedih kerana dakwanya pemimpin dan ahli PAS Melaka ada puak-puak tertentu. Hal ini tentu tidak baik untuk masa depan parti apatah lagi bagi menghadapi jentera Umno-BN yang memperkuda segala kemudahan awam. Menurut beliau segala kekuatan perlu digembleng bagi menghadapi fitnah dan tomahan Umno-BN di samping memenangi hati rakyat Melaka terutama orang Melayu yang dilihat mahu terus hidup seadanya dulu, kini dan selamanya.

Katanya, keputusan pilihan raya kecil Dun Merlimau pada Mac lalu sewajarnya jadi kayu pengukur bahawa hakikatnya PAS Melaka tetap gagal mendapat tempat di hati pengundi, terutama orang Melayu. Berdasarkan ketidak-mampuan PAS menerbos minda orang Melayu inilah, pemimpin PAS perlu jitu; bersatu dalam satu saf kuat bagi memenangi hati mereka di samping menangkis hujanan dan lambakan kemewahan dan janji manis oleh pemimpin Umno-BN negeri.

Pemimpin veteran itu memberitahu satu contoh di mana beliau mendakwa berlaku amalan berpuak itu apabila seorang Yang Dipertua Kawasan menang dengan satu undi saja, beliau sudah tentu berhak menerajui parti pada peringkat berkenaan tetapi apa dibimbangi orang-orang bawahan adalah penyokong pemimpin lain. Berhubung perkara ini, pemimpin veteran itu berharap semua pihak dapat melupakan sengketa lama; sebaliknya berpadu tenaga sebaik mungkin demi perjuangan agar dapat menegakkan Islam di bumi Melaka.

Beliau cukup bimbang perkembangan memberangsangkan di negeri-negeri lain yang memungkinkan PAS bersama rakan Pakatan Rakyatnya dapat menguasai banyak kerajaan negeri malah berkemungkinan akan menguasai Putrajaya; sebaliknya tidak berlaku di Melaka. “Saya cukup gusar jika kerajaan Persekutuan sudah bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat tetapi negeri Melaka masih diperintah Umno-BN,” katanya.

“Jika ini berlaku,” katanya, “Melaka akan menjadi seperti Kelantan sekarang ini, orang gelarkan kerajaan pembangkang.” Ya, berdasarkan perkembangan semasa, ada kemungkinan Melaka yang terus diterajui Umno-BN akan menjadi ‘kerajaan pembangkang’ sedangkan negeri lain dan kerajaan Pusat dikuasai Pakatan Rakyat.

Persoalannya, bersediakan rakyat Melaka menerima ‘kerajaan pembangkang di negeri mereka. Nampaknya orang Melaka bersedia kerana setakat ini hanya Melaka satu-satu negeri di Semenanjung yang masih tidak mempunyai seorang pun wakil PAS baik sebagai Adun ataupun ahli Parlimen. Pada pilihan raya kecil Merlimau 6 Mac lalu, harapan PAS untuk melahirkan anak sulung nyata tidak kesampaian apabila calonnnya Yuhaizat Abdullah yang kini menerajui Pemuda PAS Negeri tewas di tangan calon BN, Roslan Ahmad yang kaum keluarganya orang kuat Umno Jasin.

Pemimpin veteran itu mengingatkan memang benar ceramah umum yang diadakan PAS termasuk ketika pilihan raya kecil Merlimau tempoh hari mendapatkan sambutan hangat tetapi ia tidak boleh dijadikan sandaran kerana kehadiran orang ramai tidak bermakna undi kepada PAS akan meningkatk. Beliau mendakwa sebahagian besar hadirin adalah orang luar manakala orang tempatan tidak tergerak hati mereka untuk mengikutinya.

“Saya cadangkan kita giatkan ceramah kelompok, kita dekati pengundi dari rumah ke rumah. Jika kita buat kegiatan seperti itu mahu tidak pengundi yang ‘hardcore’ pun akan dengar juga dakwah kita, insya-Allah lama kelamaan mereka akan akui kebenaran kita jua,” katanya.

Menurutnya semua ini memerlukan kerjasama yang erat membabitkan semua pihak. Ini bermakna amalan negatif seperti berpuak-puak perlu diakhiri sebaliknya segenap tenaga yang ada digembleng bagi menghadapi situasi sukar dengan pihak Umno-BN negeri pasti akan meningkatkan tekanan.

Pilihan raya kecil Dun Merlimau memperlihatkan betapa Umno-BN memperkudakan segala jentera kerajaan termasuk institusi pendidikan bagi mendapatkan sokongan rakyat. Hal yang sama akan diulangi pada pilihan raya akan depan, malah mereka pasti mempamerkan kuasa termasuk melakukan ugutan. Oleh itu adalah penting bagi PAS Melaka mengorak langkah bersepadu…hakikatnya ia masih perlu melahirkan anak sulung sedangkan di negeri lain, PAS sudah beranak pinak malah bercucu cicit!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan