Najib Mungkin Dipanggil Beri Keterangan Skandal Scorpene


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin diminta memberi keterangan dalam siasatan pemberian komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang kini memasuki peringkat perbicaraan terbuka di mahkamah Perancis.

Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel berkata Kementerian Pertahanan termasuk kerajaan Malaysia boleh disapina untuk memberikan keterangan setelah siasatan Perancis menunjukkan terdapat dua lagi pembayaran terhadap pihak yang diragui statusnya.

Cynthia juga menyatakan perbicaraan ini boleh memberi lebih fakta berkaitan kematian penterjemah dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikatakan terlibat dalam proses pembelian Scorpene pada 2006.

“Kes yang kami failkan ini spesifik kepada pemberian komisyen 114 juta Euro yang diberikan kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang kita tahu dipegang oleh isteri Abdul Razak Baginda.

"Malah menurut peguam kami, dalam siasatan sebelum ini terdapat penemuan 2 lagi bayaran komisyen yang berkaitan dengan kes ini, sejumlah 30 juta Euro kepada Thales, sebuah syarikat perkapalan dan 2.4 juta Euro yang penerimanya tidak lagi dipastikan,” katanya ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di Jalan Maharajalela di sini, hari ini.

Badan Hak Asasi Manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada 2009 telah memfailkan aduan agar siasatan mengenai pembelian Scorpene dimulakan di Perancis.

Thales merupakan syarikat perkapalan yang memiliki Amaris, syarikat yang terlibat dalam pembelian tersebut bersama Perimekar dan Kementerian Pertahanan.

Menurut penjelasan kerajaan, kos pembelian termasuk pakej Bantuan Integrasi Lojistik dan latihan bernilai 969.15 juta Euro. Najib merupakan Menteri Pertahanan ketika itu.


Menurut Pengarah Suaram Dr Kua Kia Soong pula, pihak Perancis kini sedang rancak dan bersungguh-sungguh mengadakan siasatan bagi membanteras korupsi berkatian pembelian kapal selam yang melibatkan Perancis dan negara seperti Pakistan, Taiwan dan lain-lain.

Menurut Dr Kua lagi, kes Altantuya juga boleh disiasat kerana sebelum ini kes seumpamanya telah dibongkar oleh pihak sistem kehakiman Perancis.

"Malah, kematian Altantuya sebenarnya dianggap kecil jika dibandingkan dengan dua lagi insiden yang melibatkan penjualan senjata Perancis. Di Karachi 11 jurutera Perancis dibunuh kerana komisyen.

"Dalam penjualan kapal kepada Taiwan, sekurang-kurangnya dua terbunuh. Seorang bapa dan anaknya. Si bapa sedang menyiasat kes tersebut sebelum dibunuh," kata Dr. Kua.

Peguam Perancis, William Bourdon akan melawat Malaysia pada Julai untuk memberi taklimat berkaitan hal ini kepada awam.

Justeru, Suaram akan menganjurkan dua program jamuan makan malam sempena kedatangan beliau bagi mengumpul dana guaman Suaram pada 21 dan 23 Julai di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan