Haji Abdul Subky Latif
Video lucah yang memfitnah Anwar Ibrahim sekali pun ia kekal sebagai fitnah, dibenci dan dikutuk tetapi di sebalik semua keburukan itu dalam waktu yang singkat ia mula menyalurkan pengetahuan kepada semua tentang beberapa isu dalam perundangan Islam.
Walau pun tujuan asalnya untuk memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memusnahkan kerjaya politiknya, menghalang Pakatan Rakyat dari merampas kuasa di Putrajaya, tetapi ia telah mendedahkan beberapa isu untuk difahami oleh orang ramai tentang perundangan Islam.
Sebelumnya beberapa isu tersebut hanya menjadi pengetahuan kepada mereka yang lulus dalam pengajian dan perundangan Islam, tetapi sekarang banyak isu mengenai Islam mulai difahami oleh orang ramai termasuk orang bukan Islam.
Orang mulai tahu apa itu qazaf dan isu-isu berkait dengan kesaksian dalam perkara itu.
Isu pertamanya Anwar difitnahkan berzina. Bahan buktinya ialah satu slot video hitam putih. Ia boleh dijadikan bahan bukti untuk mendakwa Anwar.
Video itu tidak boleh dijadikan bahan bukti bagi mendakwa Anwar atas tuduhan zina. Sebarang tuduhan zina atas sesiapa saja mesti didahului dengan membicarakan saksi yang membuat tuduhan itu dulu.
Tuduhan zina itu termasuk dalam kes qazaf. Orang yang dituduh tidak boleh disiasat dulu. Yang perlu disiasat ialah penyebar cerita yang dipanggil saksi.
Dan saksi itu sendiri mestilah terdiri dari empat orang yang adil. Empat orang yang adil mengikut Islam ialah orang yang diketahui soleh. Orang soleh dalam Islam itu bukan sekadar dia beramal soleh tetapi tidak diragui peribadinya, tidak pernah terlibat dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil.
Bagi mereka yang terlibat dalam dosa besar, kesaksiannya boleh dipakai setelah diketahui taubatnya.
Dalam satu kejadian di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khatab, terdapat empat orang yang diketahui solehnya oleh masyarakat umum bahkan oleh Khalifah Umar sendiri. Mereka mengadu tentang satu maksiat yang mereka sendiri saksikan.
Ia melayakkan Saidina Umar membuka fail penyiasatan. Saidina Umar terkenal sebagai seorang yang keras, bengis tetapi adil. Orang tidak berani untuk berbuat sebarangan dengannya. Apabila orang mengadu kepadanya, maka ia tidak boleh dibuat sebarangan.
Orang yang dikatakan melakukan maksiat itu tidak dipanggil dulu. Yang dipanggil untuk dibicarakan dulu ialah empat orang yang membuat pengaduan itu. Apabila perbciaraan hendak dilakukan, seorang dari empat itu menarik diri menjadi saksi.
Maka Saidina Umar terpaksa menutup fail. Saksi tinggal tiga saja. Tidak cukup bilangan saksi adil yang dikehendaki. Sekali pun Saidina Umar keras dan bengis tetapi beliau tidak dapat berkata apa-apa tentang saksi yang menarik diri itu.
Dalam kes video lucah ini, Anwar bersumpah bagi menafikan tuduhan terhadapnya. Dia telah melakukan indakan yang betul. Mahkamah tidak boleh memanggilnya dan memaksanya selagi saksi yang membuat aduan itu tidak adili dulu.
Seperti Saidina Umar tidak memanggil orang yang diadu melakukan maksiat, maka tidak wajar Anwar diminta bersumpah.
Apa pun dalam kes video ini, tiga Datuk yang membuat dakwaan itu mesti diadili dulu. Apakah mereka layak menjadi saksi yang adil? Banyak tanda tanya tentang mereka. Dan sekali pun mereka itu didapat sebagai orang yang soleh, tetapi bilangan saksi tidak cukup.
Hikmat di sebalik syarat kesaksian yang ketat itu ialah Islam mahu menghindari fitnah, dan supaya orang tidak boleh membuat aduan begitu senang.
Apabila dibicarakan saksi membuktikan kesaksiannya, maka mereka dihukum dulu. Dan orang yang dituduh seperti Anwar tidak diusik langsung.
Setelak kesaksian empat orang yang adil itu meyakinkan mahkamah, maka barulah orang yang dituduh dipanggil.
Setakat perkembangan yang ada dalam isu video ini, Anwar adalah orang yang terakhir untuk memberi keterangan.
Segala cabaran baginya untuk bersumpah dan sebagainya itu, ia tidak buat dalam kontek perundangan, ia dibuat di luar mahkamah, benda yang di luar mahkamah tidak boleh menjadi kesaksian.
Sehingga ini video belum menjadi isu dalam perundangan Islam.
Apa pun yang berlaku dalam isu video itu ia membuka peluang kepada orang ramai yang mengikutinya mengkaji dan memahami isu-isu tertentu dalam perundangan Islam.
Sebelumnya isu ini tidak difahami orang ramai, tetapi dengan perkembangan itu semua orang mulai mempelajarinya. Nampaknya dakwah dan maklumat tentang Islam boleh berjalan dalam suasana yang negatif.
Biasanya orang yang rajin ke surau dan masjid dapat memungut isu-isu seperti itu dalam kuliah maghrib atau kiliah subuh. Yang tidak ke surau tidak tahu isu-isu tertentu. Tetapi dengan isu video ini, maklumat tentang Islam itu tersebar dengan cepat termasuk kepada orang yang tidak pernah ke surau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan