Barisan impian PAS 2011 kesan protes dua tahun

G Manimaran
Kira-kira empat bulan selepas pemilihan 2009, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetengahkan idea agar diadakan pemilihan khas untuk menggantikan pucuk kepimpinan parti itu. Ketika itu, tindakan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, mengejutkan banyak pihak khususnya di kalangan ahli parti itu sendiri.

Perhimpunan khas yang diusulkan beliau tidak menjadi kenyataan, sebaliknya kepimpinan pusat memutuskan kaedah kompromi dalaman agar parti itu tidak berhadapan dengan perpecahan dan krisis dalaman.

Nik Aziz dalam blognya ketika itu menimbulkan cadangan itu dipercayai kerana tidak senang dengan beberapa pemimpin parti, Antara yang disebut-sebut ialah Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali serta Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa berhubung isu kerajaan perpaduan.



Meskipun kompromi dibuat tetapi persekitaran protes itu tidak habis di situ. Menjelang muktamar tahun lalu, isu kononnya Nasharudin tidak sealiran dengan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang muncul semula. Beberapa pemimpin mendakwa pihaknya akan membawa usul agar pemimpin kanan ditukar akan dibawa ke muktamar yang diadakan di Kelantan.

The Malaysian Insider ada membawa tulisan bahawa Hadi sendiri ada memaklumkan sahabatnya dan beberapa pemimpin kanan dalam parti itu bahawa beliau tidak mendapat sokongan yang diharapkan daripada timbalannya. Hadi menafikan tanggapan sedemikian.

Tetapi, setahun lalu, segelintir pemimpin kawasan menekankan bahawa usaha akan digerakkan bagi memastikan pucuk kepimpinan di tangga kedua mengalami perubahan tahun depan. Cakap-cakap itu kekal sebutan sebahagian besar perwakilan sehingga ke hari pengundian pemilihan 2011-2013.

Apabila keputusan rasmi diumumkan pagi ini, Nasharudin berada di tempat ketiga dengan 224 undi berbanding Mohamad Sabu 420 undi, yang pernah mencabarnya dua tahun lau. Pencabar ketiga, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turun sebagai calon minit-minit terakhir mengumpulkan 399 undi.

Sebagaimana dua tahun lalu, undi dua pencabar mengatasi undi calon yang menang.

Nasharudin berada di tangga kedua sebagai timbalan Hadi sejak 2005. “Saya menghormati apa yang dipilih oleh perwakilan dan merasakan pemilihan itu adalah yang terbaik,” katanya lagi.

Hari ini, Nasharudin juga berkata, beliau sudah tiga penggal menjadi timbalan presiden dan tiada masalah dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Laporan media tahun lalu menyebut wujud pergeseran antara Hadi dan Nasharudin.

“Selama tiga penggal saya sudah lakukan kerja saya sebaik mungkin. Kepimpinan terbaru ini, dilihat sebagai satu perkara terbaik,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok. Ditanya mengapa beliau kalah, Nasharudin menjawab: “Perwakilan tidak mengundi saya.”

Mengenai kekurangan pada dirinya yang membawa kepada kekalahan, Nashrudin memberitahu, “saya tidak pasti, mungkin mereka mahukan seseorang yang lebih vokal.”

Pun begitu Nasharudin menolak isu kerajaan perpaduan Umno-PAS yang diperkatakan sejak 2008-2009 sebagai punca kekalahan beliau.

“Isu itu isu basi,” ujar beliau.

Dalam temu bual khas dengan The Malaysian Insider menjelang hari pengundian, Mohamad ketika mengulas isu puak ulama dan profesional berkata, “namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS.”

Beberapa perwakilan yang ditemui beberapa jam selepas pengumuman keputusan berkongsi pandangan bahawa mereka sememangnya telah menjangkakan perubahan dalam kepimpinan nombor dua parti dan memperkukuhkan semula kedudukan naib presiden.

Perwakilan-perwakilan ditemui menekankan mesej hampir sama – PAS memerlukan pasukan agresif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Mengapa tidak perubahan ini dibuat pada pemilihan 2007 sebelum negara menyaksikan pilihan raya umum ke-12 tahun berikutnya?

Dan juga, mengapa tidak pada pemilihan dua tahun lalu? Dua tahun lalu, Mohamad dan Datuk Paduka Husam Musa, yang dilabel sebagai golongan profesional bertanding.

Pada 2009, undi kepada kedua-dua calon profesional berpecah manakala Nasharudin memperoleh sokongan padu perwakilan yang berlatarbelakangkan sentimen ulama.

Kali ini, undi perwakilan yang cenderung kepada ulama berpecah, sekali gus memberi kelebihan kepada Mohamad untuk menang dengan majoriti 21 undi.

“Saya memang sudah menjangkakan keputusan ini kerana kami tahu arah aliran sokongan. Perwakilan khususnya ahli-ahli mahukan satu pasukan yang boleh membawa PAS menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan kuat,” kata perwakilan dari Kelana Jaya, Abdul Rahman Othman yang menyifatkan barisan kepimpinan kali ini sebagai “pasukan impian.”

“Saya pasti Umno, BN akan gerun dengan pasukan. Bukan begitu?” katanya lagi.

Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad iaitu perwakilan dari Temerloh, Pahang berkata, barisan baru ini akan memperkuatkan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Ia akan memperkukuhkan dan menjadi PAS bergerak dengan lebih berkesan,” kata beliau.

Penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, perwakilan menyediakan satu barisan kepimpinan yang berasaskan rekod prestasi.

“Ini adalah pasukan yang berasaskan prestasi, berdasarkan KPI... mereka mahukan pencapaian, menunjukkan prestasi... isyarat yang jelas,” katanya yang turut mempertahankan kerusi ahli jawatankuasa kerja kali ini.

Sebagaimana diperkatakan oleh seorang ahli jawatankuasa kerja pusat kepada The Malaysian Insider semalam, kira-kira empat jam sebelum proses pengundian, PAS nampaknya disajikan “pasukan terbaik” di sebalik persaingan sengit dalam memilih pemimpin terbaik.

Husam yang kembali memperoleh kerusi naib presiden berkata, “saya melihat ini pasukan terbaik. Yang diterima perwakilan dan boleh diterima oleh rakyat semua kaum dan berdasarkan rekod pencapaian yang baik.”

Mengambil kira intipati ucapan dasar Hadi semalam, perwakilan meletakkan satu pasukan kepimpinan yang lebih agresif untuk berhadapan dengan serangan Umno-BN, yang meningkat sejak setahun lalu dan sudah pasti keputusan hari ini akan merancakkan lagi serangan politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

Meminjam kata-kata Ketua Pemuda PAS Nashrudin Hassan kelmarin, stereng “kepimpinan” cuma satu. Stereng sudah diberikan. Perwakilan akan mengukur prestasi pemegang-pemegang stereng ini sebelum muktamar 2012 iaitu pada pilihan raya umum ke-13.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan