Penarik Beca
Amboi, bukan main lagi Khalid. Teringat pula tentang rungutan-rungutan pegawai kanan polis tentang Khalid yang melangkau dua tiga orang termasuk Datuk Seri Mohd Bakri Zinin untuk jadi Timbalan KPN. Lantaklah. Biar polis membara dengan rasa tak puas hati sesama sendiri. Kalau orang lain naik pun, bukannya depa nak baik dengan rakyat yang melawan Umno.
Dalam berita bertajuk "Bersih: Amaran polis akan buat tangkapan pencegahan", Malaysiakini hari ini melaporkan:
Polis akan mengambil tindakan perlu termasuk membuat tangkapan pencegahan sebelum dan semasa perhimpunan Bersih yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
Saya ni, bila nampak muka Khaid atau bila orang sebut nama dia, saya teringat cakap bohong. Saya pernah dihubungi oleh polis selepas saya tulis tentang Khalid dan bohong ketika dia jadi Ketua Polis Selangor dulu. Nasib baik tak kena tangkap lagi.
Khalid taklah kata, tetapi nampak kenyataan dia seolah-olah nak ambil tindakan kepada kedua-dua pihak, yang menyokong dan menentang Bersih. Saya tak percaya puak lawan Bersih yang ugut tentang pertembungan serta memberi amaran tentang bakar kereta dan baling batu akan diambil tindakan tegas.
Bila Khalid kata polis nak tangkap, saya teringat diri saya. Ketika saya masih kuat, biasanya saya tak akan izinkan diri saya ditangkap walaupun beberapa kali kena tangkap jugak. Bodoh sangatlah kalau saya biarkan polis nafikan kebebasan saya dan sumbat saya dalam lokap.
Tetapi, pada 9 Julai ini, iaitu hari perhimpunan Bersih, belum cukup dua bulan lagi saya keluar wad pada 29 Mei lalu akibat serangan jantung - sedih jugak, muda lagi dah sakit jantung, doktor bayangkan kerana kuat sangat hisap rokok, sejak umur 13 tahun. AlhamduliLlah, masih panjang umur dan tersangat pondan untuk hisap rokok lagi. Pada 9 Julai, stress test pun belum buat lagi.
Mengambil kira keadaan kesihatan saya, tentulah saya tak larat nak menyelinap ke sana sini. Peluru gas pemedih mata, air beracun serta debikan cota polis tak kenal siapa. Hang sakit ka, hang apa ka, peluru, gas dan cota tak bermata, tak kenal siapa. Saya terpaksa meredah lagi semua itu.
Kalau polis ligan, mobiliti untuk mengelak buruan hampir tidak ada. Kalau lari, tiba-tiba jantung jadi hal, mati pulak sat gi. Tak berani lari sebab takut jantung jadi hal dan mati pulak sat gi. Tak ada pilihan melainkan merelakan diri ditangkap. Tangkaplah!
Malam tadi pun orang bercerita lagi di Restoran Thaqwa yang saya pernah bertumbuk di Chow Kit kerana politik masa muda dulu. Tak ada maknanya. Itu dulu. Sekarang saya dah 53 tahun. Walaupun muda lagi 53 tahun tu, tapi dengan jantung yang baru kena serang, taklah setangkas orang yang betul-betul muda. Sebab itulah, apabila ada ancaman bunuh, dalam posting 14 Jun lalu saya hanya boleh bersedia dan kata:
Kalau benar tak kotor dan tak zalim, kenapa menggelabah sangat bila orang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil? Mengapa sampai ke peringkat memberi isyarat bahawa puaknya hendak membakar kereta dan membaling batu untuk menghalang perhimpunan Bersih? Bila batu dibaling dan kereta terbakar, mungkin ada yang terbunuh. Takkan hampa nak bunuh diri sendiri. Nak bunuh kami yang berhimpunlah tu.
Bunuhlah!
http://penarikbeca.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan