Liwat 2: Peguam mahu hakim Zabidin tarik diri kerana berat sebelah


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat permohonan menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar kes perbicaraan yang dihadapinya.
Menurut peguam, Sankara Nair,  permohonan itu dibuat atas sebab Zabidin telah menjalankan perbicaraan berat sebelah yang mengakibatkan pemohon tidak mendapat satu perbicaraan yang adil dan terjamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ia berikutan tindakan Zabidin membuat keputusan pra penghakiman dengan menyatakan saksi utama kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai berwibawa dan boleh dipercayai.
Zabidin, kata Sankara, menyatakan demikian ketika beliau membuat keputusan pada 16 Mei lalu, sebelum memerintahkan Anwar untuk membela diri pada 6 Jun hingga 30 Jun ini.
“Selepas penutupan kes pendakwaan, pada 16 Mei lalu, Zabidin mengarahkan Anwar untuk membela diri selepas membaca alasan penghakiman.
“Dalam alasan penghakiman oleh Zabidin di antara lain menyatakan pengadu, Saiful Bukhari Azlan bercakap benar yang membuktikan bagaimana berlaku dia disodomi pada tarikh dan masa kejadian.
“Beliau menyatakan Saiful sebagai saksi yang benar dengan memberikan kenyataan untuk membuktikan tuduhannya terhadap Anwar,” kata Sankara ketika ditemui wartawan.
Dalam pada itu, beliau turut memohon supaya fitnah II dibicarakan buat kali kedua dan didengar semula oleh hakim lain.
“Kita memohon supaya perbicaraan ini didengar semula oleh hakim yang lain dan pemohon diberi lanjutan jaminan sehingga perbicaraan didengar semula dan apa-apa perintah lain yang difikirkan wajar dan sesuai oleh mahkamah,” kata beliau.
Selain itu, beliau menyifatkan hakim Zabidin telah salah arahkan dirinya dalam menafsir perkataan prima facie semasa proses perbicaraan dan pendakwaan dalam fitnah II.
“Yang arif hakim tersebut telah salah arahkan dirinya sendiri dalam menafsirkan perkataan prima facie di bawah seksyen 180(3) dan (4) Kanun Jenayah yang telah pun mengakibatkan peruntukkan seksyen 182A(1) dan (2) Kanun Acara Jenayah adalah menjadi sia-sia,” tegasnya.
Permohonan itu difailkan barisan  peguam Anwar yang diketuai Karpal Singh di Mahkamah Tinggi hari ini.  Turut hadir ialah isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KEADILAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan