Mufti Perlis cadang JK pemandu gubal negara kebajikan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mahu PAS segera mengadakan jawatankuasa pemandu bagi menggubal konsep negara kebajikan yang digariskan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar parti itu Jumaat lalu.
Juanda (gambar) berkata, butiran terperinci perlu bagi kebanyakan pihak khususnya mereka atas pagar dan profesional Muslim dan bukan Muslim menilai agenda PAS.

“Jawatankuasa ini perlu terdiri daripada profesional, ulama bebas, ahli politik terulung dan negarawan dan perlu bersidang dan keluarkan segera pelan rangka.

“Ini penting agar mereka di atas pagar, mereka yang tidak memihak mana-mana parti, profesional Muslim dan bukan Muslim boleh tertarik dengan agenda PAS,” katanya dalam kenyataan SMS kepada laman web The Malaysian Insider mengenai agenda negara berkebajikan yang diketengahkan oleh Hadi Jumaat lalu.

Juanda (gambar) berkata ruang demokrasi yang ada mesti dijadikan ruang terbaik untuk menyuburkan keadilan, kesejahteraan, keselamatan untuk semua.

Kepimpinan Umno-BN termasuk Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pihaknya sudah pun melaksanakan dasar negara berkebajikan.

Dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi membentangkan dasar pihaknya bersama komponen Pakatan Rakyat untuk mewujudkan asas negara berkebajikan - pengurusan yang menurutunya tidak akan membebankan rakyat sama sekali.

Ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”, dilihat kali pertama meletakkan komponen pengurusan dan pentadbiran ekonomi secara menyeluruh lagi terperinci. Ucapan-ucapan lalu lebih berkisar pada soal agama dan sosial.

Abdul Hadi menegaskan, dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh itu katanya, PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan Umno-BN sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat.

Abdul Hadi juga memberitahu, rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga.

“Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata.

“Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan,” kata beliau.

Abdul Hadi menjelaskan, PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.

“PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara,” kata beliau lagi.

Hadi, yang juga bekas menteri besar Terengganu berkata, PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan Disember lalu.

Manifesto PAS ketika pilihan raya umum 2008 juga bertemakan negara kebajikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan