Noor Jaafar: Yakin BN akan tumbang kali ini

Mohamed Noor Jaafar
Saya tidak tahulah rakyat yang macam mana lagi yang akan menyokong dan mengundi Umno/BN pada pilihan raya umum akan dating, jika ini sikap dan perangai pemimpin yang memerintah negara ini yang boros dan membazirkan wang rakyat.

Tindakan pemimpin Umno yang menerajui kerajaan sekarang tidak langsung menggambarkan dia (kerajaan) mendahulukan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’.

Saya yakin dengan apa yang dilakukan kerajaan diterajui Najib dengan menyalahgunakan wang rakyat BN akan tumbang pada pilihan raya umum kali ini.

Sebanyak RM48 juta dibelanjakan antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu.

Daripada jumlah itu hampir RM33 juta dibelanjakan untuk menyewa kediaman lain semasa tempoh itu yang dibayar kepada Perbadanan Putrajaya dan RM3.5 juta lagi dibelanjakan untuk kerja baik pulih, RM10.2 juta bagi bil elektrik dan RM1.9 juta untuk bil air.

Perkara itu terkandung dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menjelaskan kerajaan membelanjakan RM48,789,115.03 setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi kedua-dua pemimpin negara itu.

Perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari 2008 hingga 2011 pula berjumlah RM17,118,650.58.

Tak tahulah kalau masih ada rakyat yang ‘buta hati’ masih termakan dengan gula- gula Umno/BN hingga sanggup merelakan apa saja yang dilakukan pemimpin mereka yang tidak tahu dosa pahala.

Pemimpin berpendidikan agama di kalangan pemimpin Umno juga ‘membisu’ tidak berani menegur kemungkaran yang dilakukan peneraju kerajaan kerana mereka bimbang hilang kedudukan dan jawatan dalam kerajaan.

Wang yang disalahgunakan kerajaan itu bukannya sedikit tapi berpuluh juta ringgit, alangkan bahagianya rakyat miskin jika wang itu digunakan untuk mensejahtera dan membahagiakan hidup rakyat.

Rakyat tidak sepatutnya terus membiar atau bersubahat dengan pemimpin seperti itu terus menerajui kerajaan.

Mulai bulan depan juga pengguna Astro dibebankan dengan kenaikan kadar penggunaan perkhidmatan televesyen berbayar kerana kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus bermula Januari 2011.

Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kenaikkan kadar perkhidmatan kerana kerajaan mengenakan cukai kepada syarikat yang dilesenkan menyediakan perkhidmatan televisyen berbayar itu.

Begitu juga dengan kenaikan harga barangan lain, syarikat terpaksa menaikkan harga barang kerana cukai yang dikenakan kerajaan dinaikkan selain kenaikan harga petroleum dan gas.

Syarikat tak sanggup mengalami kerugian sedangkan mereka terpaksa menanggung kenaikkan kos lain termasuk bayaran saman trafik dan Jabatan Pengakutan Jalan, serta cukai lain yang dikenakan.

Bagaimanapun semua kenaikan yang dikenakan kerajaan itu, rakyat yang akan menerima padah dan dibebankan dengan kenaikan harga barang.
-------------------------------------------------------------
Penulis adalah bekas wartawan dengan media tradisional.
-harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan