Peniaga serbu PMBK dapat kunci Bazar Tok Guru

Salmah Mat Husain 
KOTA BHARU, 30 Jun: Biar pun masih ada usaha cuba menghalang peniaga Pasar Lama MPKB berpindah ke Bazar Tok Guru, namun berlainan pula bagi peniaga, mereka seperti tidak sabar lagi mahu berniaga di premis baru.

Ramai peniaga ketika ditemui semasa mengambil kunci di pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) hari ini meluah rasa gembira.

Mereka seperti tidak sabar lagi mahu memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru.

Seorang peniaga Siti Mastura Ismail, 33, meluah rasa gembira ketika datang mengambil kunci lot kedainya di Bazar Tok Guru.

Beliau berniaga di Pasar Lama MPKB sejak 10 tahun lalu berharap perniagaannya di tempat baru lebih maju kerana kedudukannya begitu strategik.

“Tidak ada apa yang kami harapkan semoga perniagaan kami bertambah maju di tempat baru ini, InsyaAllah,” ujarnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang peguam Nor Azli Ahamed menasihatkan peniaga menangguhkan menandatangani perjanjian jual beli lot Bazar Tok Guru kerana mendakwa terdapat sedikit kekeliruan.

Manakala Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Salim Ahmad pula dilapor mahu kerajaan negeri sekali lagi menangguh perpindahan peniaga.

Difahamkan sebelum ini Umno menyediakan peguam bagi membantu peniaga dalam isu Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun apa yang berlaku pagi tadi peniaga tidak menghiraukan nasihat peguam dan Salim. Ramai peniaga menyerbu pejabat PMBK sebaik sahaja dibuka jam 8.00 pagi.

Peniaga menandatangani dokumen tertentu sebelum diberi kunci lot kedai masing-masing. Peniaga juga diminta membayar kos maintenance termasuk elektrik dan air bagi tempoh setahun sebanyak RM838.

Seorang lagi peniaga, Zaharah Mohd Salleh dan anaknya Rafeah Yusoff juga tidak sabar untuk memulakan perniagaan di tempat baru.

Katanya, mereka akan berpindah segera ke Bazar Tok Guru untuk meneruskan perniagaan di tempat baru.

Peniaga diberi peluang berniaga percuma dalam tempoh setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu sebagai usaha kerajaan negeri meringankan bebenan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan