Singapura tidak hormati kta ceroboh ruang udara

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sangat kesal terhadap pencerobohan ruang udara negeri itu dan beranggapan bahawa Singapura seolah-olah tidak menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, sebagai negara berjiran dan rakyat kedua-dua negara sering berulang-alik, maka pihak Kerajaan Singapura wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah justifikasi pencerobohan itu berlaku.

“Kerajaan Malaysia juga harus bertegas dan memberi tempoh waktu tertentu untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya kerana Kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat 2,508 pencerobohan pesawat Tentera Udara Singapura sejak tahun 2008.

Tambahnya, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah membuat cerapan terhadap pesawat negara jiran yang mencurigakan.

Katanya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan isu ini secara bertulis di Parlimen.

Pada tahun 2008 terdapat 985 pencerobohan dikesan, 1,286 pencerobohan tahun 2009, 218 pencerobohan tahun 2010 dan sehingga Mei 2011 sudah 19 pencerobohan telah dikesan.

Pada bulan Mac 2006 pesawat tanpa pemandu (UAV) dipercayai milik tentera udara Singapura telah menceroboh ruang udara Johor di Gelang Patah.

UAV Singapura telah menggunakan teknologi pengintipan Israil dan teknologi ini juga telah digunakan untuk memantau pergerakan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

“Rakyat Malaysia khususnya Johor sangat curiga terhadap penggunaan UAV ini,” ujar Suhaizan yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.

Sebelum ini, ujarnya Malaysia dan Singapura pernah mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara bagi membenarkan jet pejuang tentera udara Singapura yang berpangkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan.

Malangnya, kata beliau terdapat jet pejuang Singapura telah melepasi ruang yang dibenarkan. Akhirnya perjanjian ini dibatalkan pada 18 September 1998.

Menurutnya lagi, perjanjian semula hampir dimeterai pada tahun 2004 tetapi mendapat bantahan rakyat Malaysia.

Sehingga kini, tambahnya tiada sebarang perjanjian yang membenarkan ruang udara Johor digunakan oleh pihak Singapura.

Beliau juga menggesa Kerajaan Negeri Johor agar hendaklah lebih proaktif mendesak kerajaan Singapura meghentikan pencerobohan dengan segera.

Katanya, sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang sedang bersidang sekarang seharusnya diambil kesempatan untuk mengemukakan usul tergempar mengutuk pencerobohan ruang udara Johor dan mendesak dihentikan pencerobohan serta merta.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili rakyat Negeri Johor mahukan rantau ini bebas daripada sebarang persengketaan.

“Kita mahu hidup aman, makmur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan