Umno BN sangat bimbang 8 tuntutan Bersih

Hazayani Zakaria
KUBANG PASU, 25 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Umno BN sangat bimbang dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 sehingga meningkatkan usaha menyekat rakyat hadir ke himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Beliau mempersoal undang-undang yang dipakai Umno BN yang melarang rakyat memakai dan menjual baju kuning.
"Di Malaysia ini begitu ganas dan zalimnya pimpinan Umno, bila pakai baju kuning dan jual baju bersih dianggap satu kesalahan.

"Undang-undang mana yang mereka pakai? Ini satu bentuk keangkuhan kuasa dan tindakan terdesak kerajaan sebab mereka tengok kita minta pilihan raya Bersih.

"Ada mereka pertahankan kebersihan pilihan raya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Bukit Kayu Hitam dan Pejabat PKR Kubang Pasu petang tadi.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa orang yang ditahan dan disoal siasat kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0 malam tadi dan hari ini.

Beliau turut mendakwa pilihan raya di Malaysia tidak ada bezanya dengan pilihan raya di Mesir sehingga rakyat bangkit melakukan perubahan.

Katanya lagi, rakyat negara ini turut mahu melakukan perubahan terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengakui wujudnya pertindihan daftar pemilih.

"Pilihan pilihan raya di Malaysia tidak ada beza dengan siapa yang boleh nafikan ada masalah daftar pengundi?

"Bukan sahaja PKR PAS lebih terperinci bawa kes ini yang saya lihat sendiri dari jauh. Ada ruang media yang bebas? Tidak ada.

"Apa beza pilihan raya Najib Tun Razak dengan pilihan raya Hosni Mubarak di Mesir, tolong jelaskan.

"Mengapa rakyat dan dunia menyokong perubahan pilihan raya di Mesir dan adakah salah kita menuntut pilihan raya yang sama?" soalnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak menuntut pilihan raya untuk kepentingan mereka tapi demi rakyat.

"Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan," katanya.

Mengulas mengenai tahanan dua mahasiswa yang terlibat dalam program masyarakat di Gebeng, Kuantan petang tadi, beliau menyifatkan ianya untuk menakutkan golongan muda.

"Dia akan tangkap sesiapa yang dilihat ke depan untuk menakutkan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan