Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih

SHAH ALAM, 26 JUN: Pihak berkuasa akan menggunakan apa sahaja ruang dan segala bentuk undang-undang untuk menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0 termasuk  menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, senario seperti itu memang berlaku di Malaysia apabila suara rakyat mengatasi suara kerajaan,

Beliau yang juga Adun Kota Damasara berkata, penahanan 30 anggota parti itu yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, jelas membuktikan usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak mereka.

" Dalam hal ini senang sahaja. Kalau kerajaan beri arahan, kita tidak ikut, dan Agong restu ikut Perlembagaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau apa sahaja. Jadi mereka boleh katakan begitu. Semua undang-undang, kalau anda pertikai, mereka boleh kata anda melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong,"katanya.

Portal The Malaysian Insider melaporkan, 30 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Kesemuanya aktivis PSM ini ditahan semalam di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang.

Selain itu beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PAS juga turut ditahan kerana memakai pakaian berwarna kuning di beberapa tempat seperti Kapar dan Ampang

Roadshow Bersih 2.0 di Uptown Shah Alam turut dikepung polis dan Timbalan sayap pemuda parti itu ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran manakala satu lagi roadshow di Assam Jawa, Kuala Selangor turut diganggu Polis.

Menurut Dr Nasir, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak mustahil provokasi polis akan menjadi lebih keras demi menakutkan rakyat dari menyertai himpunan aman ini.

Walau bagaimanapun katanya kepada Tv Selangor, apa jua cara yang digunakan kerajaan, ia tidak akan mampu menghalang kuasa dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

"Memang cukup terdesak mereka ini. Tak makan akal. Tapi ini yang mereka lakukan sekarang ini.

"Kita jangkakan akan ada perkara yang lebih teruk akan berlaku tetapi rakyat mereka tidak dapat lawan,"katanya.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan