ADUN: Polis mohon maaf selepas geledah pejabat

Hambatan ke atas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berterusan hari ini dengan giliran pusat khidmat ADUN Kajang pula digeledah pagi ini.

Namun kali ini, polis terpaksa memohon maaf kerana tidak ada apa-apa barang larangan seperti baju T kuning BERSIH yang berjaya dirampas.
pibm computer class pc 011107 lee kim sinADUN Kajang Lee Kim Sin dari PKR berkata kira-kira 15 anggota polis dari ibu pejabat polis Kajang menyerbu pejabatnya pada jam 10.15 pagi tanpa waran selepas mendapat maklumat beliau menyimpan barangan BERSIH 2.0.

"Saya tiba apabila mereka hampir berlepas dan berkata kepada seorang pegawai polis ASP Pang, ini satu bentuk tekanan dan menyebabkan ketidak-selesaan kepada pengundi yang datang meminta khidmat saya dan beliau akhirnya meminta maaf.

"Mereka beritahu saya mereka menerima laporan yang saya menyimpan bekalan kain lilit kepala BERSIH dan sebagainya tetapi ini nyata tiada asas,” kata Lee ketika dihubungi.

Menurut kakitangan pusat khidmatnya yang tidak mahu identitinya didedahkan, polis memasuki premis itu tanpa waran dan enggan membenarkan mereka menelefon Lee yang tiada di lokasi semasa serbuan.

"Mereka paksa kami buka kotak yang memuatkan kompang dan bendera yang kami beli untuk satu program di sebuah kampung,” katanya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan