'Buaya Darat' dibogelkan dan nyaris dipotong kemaluannya

MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.

BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ‘buaya darat’ mungkin tidak akan melupakan pembalasan diterimanya selepas kemaluannya nyaris dipotong oleh waris enam daripada 10 gadis, kebanyakannya siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dari sekitar Lembah Klang yang pernah diperdaya, termasuk diragut ‘kesucian’, sejak dua tahun lalu.


Malah, sebagai balasan atas perbuatan durjananya terhadap gadis berkenaan sebelum ini, gambar lelaki terbabit dalam keadaan berbogel turut dirakam untuk menyedarkannya dan memastikan dia tidak mengulangi tindakan sama.

Dia yang berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mengamalkan pelbagai ajaran dan ilmu kebatinan berkaitan wanita, akhirnya kecundang selepas waris keenam-enam keluarga terbabit berpakat ‘menuntut pembelaan’.


Akibatnya, 15 telefon bimbit mengandungi pelbagai gambar bogel gadis ditidurinya dibuang, manakala dia dibogelkan di satu kawasan sebelum kemaluannya cuba dipotong, selain beberapa barangan pelik miliknya dirampas.


Bagaimanapun, kejantanan lelaki terbabit tidak diusik apabila ada ahli keluarga mangsa enggan melampaui undang-undang, selain memikirkan nasib isteri dan dua anaknya yang masih bergantung hidup kepadanya.


Wakil kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Haji Ali, 45, (bukan nama sebenar) berkata, mereka mengambil tindakan sendiri selepas berbincang dan mendapati kesukaran menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana dakwaan mangsa diperkosa sukar dibuktikan disebabkan kebanyakannya mengikut lelaki itu ke hotel secara sukarela.


Oleh kerana khuatir ramai gadis lain akan menjadi mangsa, katanya, gadis yang pernah menjadi mangsa lelaki itu bertekad ‘memberi pengajaran’ kepadanya, terutama selepas dara mereka diragut dan wang dibekalkan keluarga dihabiskan lelaki itu.


Mereka mengupah sekumpulan samseng sambil dibantu ahli keluarga masing-masing menjejaki lelaki itu sebelum terserempak dengannya berhampiran sebuah hotel di Cheras ketika suspek dalam perjalanan ke hotel bersama seorang gadis lain.


Dalam kejadian jam 8 malam Khamis lalu itu, kereta lelaki terbabit dihalang sebelum dia dipaksa turun dan dibawa ke satu tempat untuk ‘disoal siasat’ akibat perbuatan dilakukannya sebelum ini.


“Ketika disoal, lelaki yang bekerja sebagai peniaga aksesori telefon itu mengaku memperdaya sekurang-kurangnya 10 gadis, semuanya melalui laman sosial Facebook.


“Kebanyakan mangsa adalah siswi dan mereka yang bekerja, dan kegiatannya dilakukan sejak dua tahun lalu selepas dia dipercayai mengamalkan pelbagai ilmu kebatinan berdasarkan barangan yang ditemui dalam kereta,” katanya.


Menurutnya, lelaki berkenaan bernasib baik kerana ada ahli keluarga gadis yang menjadi mangsa berfikiran rasional dan memikirkan masa depannya, malah ketika disoal, dia mengaku akan bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan sama.


“Memang dia boleh menipu kami jika dia mahu, tetapi dia harus ingat kami juga boleh mencarinya jika kami mahu seperti yang berlaku pada malam kejadian,” katanya.


Seorang mangsa, Nurhaslinda Omar, 25, (bukan nama sebenar) berkata, dia bertindak nekad mencari kenalan lelaki berkenaan melalui laman sosialnya sebelum mereka berhubung antara satu sama lain selepas geram dengan apa yang berlaku terhadapnya.


“Selepas mengambil barangan berharga seperti barangan kemas, kad bank dan juga wang tunai, saya ditinggalkan begitu saja, malah beberapa kenalan ditemui dalam laman sosialnya turut mengalami nasib sama.


“Selain ‘dikikis’, kami dijadikan mangsa memuaskan nafsu, malah ada antara kami dirakam gambar mereka sebagai bahan pornografi, menyebabkan kami akhirnya sepakat untuk ‘bertindak’ dan memaklumkan keluarga.


“Saya percaya dia menggunakan barangan bagi tujuan memukau gadis supaya menurut segala kemahuannya meskipun pertama kali bertemu,” katanya.


Yang pasti, katanya, lelaki berkenaan menjadikan Facebook sebagai ‘lombong’ mencari gadis cantik atau golongan berada berdasarkan profil yang biasanya tertera pada laman sesawang itu.


“Pada awal perkenalan, si gadis akan ditabur dengan timbunan wang ringgit disimpan pada but kereta supaya pandangan gadis dikaburi wang ringgit dan akur menemani dia bergembira, namun selepas dia puas bersama mereka, dia pasti meninggalkan si gadis,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan