Darjah Gelabah UMNO/BN Ke Anak Tangga Paling Tinggi

Sanusi

Menjelang jam 9.00 malam tadi, ramai yang menerima sms dan email yang sama... waktu itu sekelian EXCO Pemuda PAS Kedah sedang bermesyuarat bulanan di Kompas Batu 9. Titah Khas KDYMM Yang DiPertuan Agong dikirim laju ke segenap pelosok bumi, membawa satu mesej yang umum. Baginda memerhati dan mengambil berat terhadap perkembangan semasa politik negara, dengan menitahkan beberapa maudu'...

1. Bersih dan tuntutannya.
2. DS Najib keupayaannya
3. Kerajaan dan pelaksanaan amanah rakyat
3. Demokrasi dan perjalanannya
4. Demontrasi dan kesannya.

Adapun sepanjang sejarah, selain titah rasmi baginda di majlis rasmi Negara, detik bersejarah dan peristiwa penting tanahair, titah langsung (khas) daripada KDYMM YDP Agong dalam isu-isu politik semasa amat jarang kedengaran. Seingat saya, kali terakhir ialah titah menasihatkan agar dibatalkan debat UMNO-PAS pada tahun 1985. Selepas itu, titah inilah...

Saya sama sekali walau sebesar kelumit pun tidak berniat atau berhasrat engkar atau sembah derhaka akan titah perintah Baginda, tetapi sebagai hamba rakyat negara ini yang terbabit secara langsung dalam politik dan parti politik, mempunyai beberapa rumusan....

1. Tahap kebimbangan dan darjah ketakutan UMNO/BN kepada tuntutan rakyat telah melantun ke tahap paling tinggi pada detik ini.

2. Adapun parti yang membentuk kerajaan pusat waktu ini sangat lemah, tenat dan tidak tentu arah.

3. Tahap keupayaan dan kecekapan UMNO/BN yang membentuk kerajaan pusat mencapai tahap tepu dan tidak berupaya lagi mentadbir rakyat yang semakin bijak dan matang.

4. UMNO/BN hilang upaya diri untuk bergerak seiring dengan keterbukaan maklumat dan kesedaran rakyat.

5. UMNO/BN sudah menemui titik nokhtah sebagai isyarat untuk berhenti menjadi kerajaan atas kegagalan melaksanakan tuntutan sistem demokrasi dalam negara ini.

6. UMNO/BN hanya bergantung kepada Institusi awam untuk memanjang hayat politik mereka.

Oleh yang demikian... saya menyeru supaya Perdana Menteri segera mengadap KDYMM YDP Agong untuk memohon limpah perkenan baginda supaya Parlimen dibubarkan dan pilihanraya umum segera diadakan. Dengan itu, rakyat dapat memilih satu parti baru untuk membentuk kerajaan negara ini secepat mungkin.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Di Ampun...Patik menjunjung kasih di atas titah perintah Tuanku kepada sekelian hamba rakyat pada malam tadi, sebagai tanda kasih dan sayang Tuanku kepada patik-patik sekelian. Sebelum mengakhiri kalam, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku untuk patik dan sahabat-sahabat patik untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dan ahli parti politik dalam negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi ini. Ampun Tuanku.

(Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kedah merangkap Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Kedah.)


Darjah Gelabah UMNO/BN Melonjak Ke Anak Tangga Paling Tinggi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan