Implikasi Agong sedia jumpa Bersih dan himpunan di stadium

AHMAD LUTFI OTHMAN
Sekurang-kurangnya Buletin Utama TV3, malam 4 Julai lalu, tidak lagi dipenuhi momokan tentang "perhimpunan hahttp://media1-cdn.malaysiakini.com/377/a15bf7300e07555e674fd55d06211d0c.gifram golongan pengacau" apabila wakil Bersih yang diketuai S Ambiga bersama A Samad Said dan Zaid Kamarudin diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah petangnya, dan mereka bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak pula dilihat lebih mendatar (berbanding malam sebelumnya di perhimpunan bulanan JPM),  sambil menekankan: "Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat bahawa mereka akan pergi dengan aman, berhimpun secara aman dan mereka akan balik dengan aman."

Bagaimanapun, siaran berita yang sama melaporkan sidang akhbar polis Selangor dan Kuala Lumpur tentang rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang, termasuk 44 molotov *****tails, 23 parang dan 48 baju-T dengan logo Bersih. Polis tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih, 9 Julai. Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Hamzah berkata, taktik digunakan dengan golongan komunis semasa zaman darurat.

Saya cuba membayangkan, jika tiada "campur tangan Agong" dan  Bersih tetap bertegas mengadakan perarakan membelah kota raya ke Istana Negara, tentulah kes rampasan senjata bersama baju-T Bersih itu akan menjadi isu hangat-panas  dan diperbesar-besarkan oleh RTM, TV3 dan pastinya Utusan Malaysia, berhari-hari lamanya. Mutakhir ini media di negara kita, khususnya TV, berulang kali menyiarkan propaganda memburukkan Bersih yang cukup memualkan. Rasanya propaganda pemerintah zaman komunis dulu pun tidak seteruk itu.

Lucu juga mengingatkan penegasan Tun Hisan yang seolah-olah mahu mengaitkan rampasan senjata di belakang tokong Cina di Batu 14, Jalan Gombak Lama Bentong, dengan taktik pengganas komunis. (Masakan tidak, "komunis" tahun 2011 ini begitu alpa dan naif sehingga meninggalkan kesan dan bukti, seperti baju-T Bersih! Kebetulan, ada blogger mengingatkan kemungkinan rampasan gelombang kuning di seluruh negara boleh menyediakan ruang untuk mensabotaj Bersih, terutama membabitkan baju-T kuning itu).

Serta-merta saya terkenang nasib Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap semula mengikut Ordinan Darurat (EO) selepas dibebaskan daripada tahanan reman pada 2 Julai. Sebelum itu, Jeyakumar bersama 30 yang lain, ditangkap di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Polis mendakwa berdasarkan barangan yang dirampas, ahli-ahli PSM itu mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Penggunaan EO adalah taktik halus polis mahu menahan tanpa bicara dengan tidak menggunakan akta drakonian ISA. Berbanding ISA, tidak wujud suara lantang terhadap EO disebabkan sasarannya bukan ahli politik, tetapi gangster atau penjenayah. Peruntukan penting dalam Ordinan Darurat adalah Seksyen 3(3), iaitu tempoh penahanan oleh polis selama 60 hari dan juga Seksyen 4(1), iaitu arahan menteri supaya ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Setelah tamat tempoh 60 hari tahanan pertama, menteri boleh memerintah perlanjutan tempoh tahanan tanpa bicara selama 2 tahun. Secara alternatifnya, menteri boleh mengeluarkan perintah sekatan untuk menyekat pergerakan tahanan. Menteri mempunyai kuasa melanjutkan perintah tahunan untuk satu jangkamasa berterusan tidak berakhir (undefinitely). 

Selain itu, isu yang menjadi bualan ramai adalah sikap keterbukaan Seri Paduka yang bersedia menerima rombongan Bersih dan khabarnya pimpinan Pakatan Rakyat juga ke istana, ketika Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengumumkan pintu rundingan sudah ditutup. Malah, Khalid dengan sombong memaklumkan kepada media bahawa perjumpaan ketuanya, Ismail Omar dengan pimpinan Bersih, termasuk Ambiga, bukannya satu rundingan, tetapi hanya untuk memaklumkan pendirian polis.

Dan bagaimana pula dengan status Bersih selepas menghadap Agong, khususnya merujuk kenyataan  Abdul Rahman Othman, Pendaftar Pertubuhan Malaysia, bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuatkuasa 1 Julai 2011? Masakan Agong sedia bertemu wakil pertubuhan haram, yang di dalamnya mungkin mengandungi anasir subversif, yang dikaitkan dengan komunis?

Bagaimanapun bagi saya, perkara yang jauh lebih penting adalah menonjolkan peranan istimewa Agong dalam dunia politik, khususnya membabitkan proses pilihan raya. Kedudukan baginda yang unik itu jarang diperkatakan sehinggalah muncul titah diraja, malam 3 Julai lalu. Antara petikan menarik: "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana ..."; "Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan ...."

Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM." Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

Menurut Tun Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara dalam bukunya, Mengenai Perlembagaan Malaysia, "Untuk menentukan bahawa SPR bebas dari campur tangan kerajaan, Perlembagaan memperuntukkan bahawa seseorang ahli SPR tidak boleh dipecat dari jawatannya melainkan atas alasan yang sama dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim.

Tiada perutukan lain dalam Perlembagaan yang begini istimewa walaupun terhadap perlantikan hakim, kecuali bagi SPR. Malangnya, pada hemat saya, peranan Agong seperti ditegaskan Perkara 114(2) itu seolah-olah tidak diberi perhatian serius, sedangkan ia kunci kepada masalah yang berbangkit hari ini. Belum nampak satu mekanisme yang jelas dan sistematik tentang perlantikan ahli-ahli SPR yang seharusnya mendapat KEPERCAYAAN AWAM itu, sehingga mereka yang dianggap boleh "diperbudakkan" oleh Umno yang sering dilantik dan ini menyebabkan kontroversi berlaku.

"Tugas politik" Agong yang begitu penting ini, seumpama seorang pengadil pertandingan yang tidak memihak, mesti dibahaskan secara tuntas. Bersih, dalam memorandum kepada baginda, bertarikh 10 November 2007 "menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pembaharuan sistem dan proses pilihan raya".

Sebenarnya, daripada menuntut sebuah suruhanjaya bebas, lebih praktikal untuk mendahulukan peruntukan yang tersedia dalam Perlembagaan. Penubuhan SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM ini tidak boleh ditangguh lagi. Perarakan aman membelah Kuala Lumpur, yang dipindahkan ke stadium, tidak akan menyelesaikan isu sebenar sekiranya perkara pokok yang terkandung dalam tuntutan 8 perkara itu terbiar begitu sahaja.

Secara peribadi saya mengharapkan langkah awal Seri Paduka ini akan merintis usaha reformasi menyeluruh terhadap proses pilihan raya dan sistem demokrasi di negara kita. Ini bukan perkiraan siapa kalah atau menang; yang penting ada cahaya di hujung terowong ....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan