Isteri Sarbani Buat Laporan Polis Mahu Dakwaan Raja Petra Disiasat


KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed akan membuat laporan polis hari ini ekoran pendedahan yang dibuat oleh blogger terkenal, Raja Petra Raja Kamaruddin mengenai kematian suaminya.

Menurut Portal The Malaysian Insider, Maziah Manap akan membuat laporan polis itu pagi ini.

“Ya ... ya ... saya akan buat satu laporan polis esok (hari ini). Saya yang akan buat, turut akan temankan saya ialah peguam Ghazali Mohd Ramli dan ahli keluarga lain,” katanya.

Jelas Maziah, walaupun tidak pasti sama ada pendedahan itu betul atau tidak namun dia menegaskan “ia ada asas.”

“Pendedahan yang dibuat Raja Petra ini harus disiasat, polis kena siasat sebab ia ada asas,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai laporan polis yang akan dibuat itu, Maziah berkata, “kita tunggu esok.”

Dalam lapan entrinya, Raja Petra antara lain berkata, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbani ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbani memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbani tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Dakwaan ini dikatakan dalam tulisannya ketika inkues masih berjalan. Inkues yang sedang berehat dua minggu akan disambung awal bulan depan.

Selain itu, peguam keluarga Awtar Singh berkata pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini membunuh diri seperti mana yang didakwa.

Beliau juga akan meminta mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks SPRM Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun peguam SPRM Datuk Seri Shafee Abdullah menyifatkan Raja Petra sebagai seorang yang “bercakap merapu” sambil menegaskan dakwaan-dakwaan mengenai kematian Sarbaini tidak benar.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan