Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Julai:Bersih 2.0 hari mendakwa mereka menerima laporan bahawa punca utama kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya.
Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0 dan melepaskan semua tahanan dengan kadar segera.
(Anak kedua Baharudin, Nazrul, memeluk Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengunjungi rumah Baharudin semalam)
Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi semalam selepas menjalani postmortem.
"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.
Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.
Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.
Menurut Azhar , pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.
"Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.
“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk.
"Terdapat bukti video yang jelas menunjukkan polis menembak gas pemedih mata masuk ke perkarangan Hospital Tung Shin serta contoh-contoh lain yang menunjukkan polis membelasah orang-orang awam yang tidak bersenjata.
"Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen YB Khalid Samad juga cedera parah apabila terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai. Terdapat banyak contoh yang lain. Kita menyeru para peserta untuk memberikan bukti gambar dan video insiden-insiden sedemikian kepada kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.
Bersih 2.0 turut menyifatkan serangan bertubi-tubi terhadap para peserta demo aman Sabtu yang lalu sebagai mengejutkan.
“Kekejaman yang dilakukan dapat dilihat sendiri oleh warganegara Malaysia dan juga pemerhati antarabangsa. Ia telah menunjukkan tanpa raguan lagi bahawa pihak berkuasa telah gagal menjunjung dan memelihara perkara yang paling asas dalam hak asasi manusia seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Negara,” tambahnya.
Jawatankuasa tersebut turut mengutuk penafian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar tentang kekejaman dan kekerasan polis terhadap para peserta Bersih 2.0.
“Kenyataan daripada PM bahawa tiada ‘pertembungan fizikal’ antara polis dan para peserta yang berdemo secara aman sungguh bercanggah dengan bukti video yang berlambak, sama juga dengan kenyataan KPN yang menafikan tiada gas pemedih mata ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin.
Kita mengharapkan integriti yang lebih tinggi daripada orang-orang yang diamanah untuk menerajui negara dan menjaga keselamatan kita,” selar jawatankuasa itu lagi.
Bersih 2.0 turut menuntut pihak berkuasa untuk melepas 6 tahanan dari Parti Sosialis Malaysia yang masih ditahan tanpa bicara, yang amat bercanggah dengan hak asasi manusia.
“Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar baru-baru ini telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kami amat bimbang tentang kesihatan dan keadaan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan kami menuntut mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat,” seru Bersih 2.0.
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan