Keunikan Ramadan terserlah di Kota Bharu

Aslani M
KOTA BHARU, 31 Julai: Di negeri-negeri lain kempen kibar Jalur Gemilang sedang rancak dijalankan, sebaliknya di Kelantan kemeriahan Ramadan pula dirasai sekarang.

Persiapan akhir di Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sedang dijalankan sejak pagi tadi.

Kelainan Ramadan sejak 20 tahun lalu dirasai apabila ada khemah khas tempat solat Tarawih disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di tengah pusat bandar.

Bermula khemah Tarawih di Dataran MPKB kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang yang lebih selesa dan strategik.

Solat Tarawih berimamkan qari dari Mesir sejak beberapa tahun lalu begitu mengasyikkan ribuan jemaah yang hadir.

Tambahan pula tempat solat di Qaryah Ramadan disediakan penghawa dingin. Selain itu di beberapa masjid utama di sekitar Kota Bharu juga disedia penghawa dingin termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Lundang dan Masjid Kota Darulnaim.

Bagi pemimpin kerajaan negeri dan PAS, Ramadan lebih sibuk berbanding bulan lain memandangkan program tadarus al Quran diadakan di setiap kawasan parlimen.

Selain itu mereka juga perlu menyampaikan tazkirah di Dewan Zulkifli Mohammad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas solat Zohor.

Tazkirah dimulakan pada 1 Ramadan dan dijangka dilancarkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut dijadual menyampaikan tazkirah tersebut anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Dua anggota Exco yang bukan lulusan bidang pengajian agama iaitu Abdul Fattah Mahmood (optometrist) dan Che Abdullah Mat Nawi (kewangan) juga dijadual menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Manakala program tadarus al Quran dimulakan pada 2 Ramadan akan diadakan di kawasan parlimen Ketereh bermula solat Asar sehingga waktu iftar.

Program itu akan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program serupa diadakan di kesemua 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kemuncaknya program tadarus al Quran akan diadakan pada 17 Ramadan di Bukit Bunga, Jeli. Sempena program itu ceramah Badr al Kubra juga diadakan.

Di Qaryah Ramadan pula pelbagai program disusun khas seperti tahun-tahun sebelumnya. Antaranya iftar dan sahur jama’i, kelas pengijazahan al Quran, tazkirah selepas dua salam Tarawih, relay bacaan al Quran selepas jam 12 malam.

Selain itu tadarus al Quran setengah jam sebelum berbuka, qiamulai mulai jam 4 pagi, program sepetang di ambang iftar, interaktif bersama imam dari Mesir, kelas al Quran selepas solat Zohor dan Asar, pameran Palestin serta cafe mubarak.

Perasmian Qaryah Ramadan dijangka diadakan pada 4 Ramadan selepas solat Tarawih oleh Menteri Besar.

Himpunan Remaja Ramadan

Himpunan Remaja Ramadan pula diadakan pada petang 5 dan 15 Ramadan. Majlis khatam al Quran 30 juzuk dijadualkan pada 13 Ramadan.

Di Qaryah Ramadan juga akan diadakan ceramah Nuzul al Quran pada 17 Ramadan disampaikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.

Tahun ini juga diadakan program Sehari Celik IT dan program Skor A bagi pelajar-pelajar bakal menduduki peperiksaan, pagi 20 Ramadan.

Pada malam hari sama diadakan ceramah pengkisahan Badar Kubra akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dun Kelantan dan wakil Palestin.

Kelainan juga dapat dirasakan apabila pelbagai sepanduk meraikan kedatangan Ramadan boleh dilihat di merata tempat di Kelantan sejak seminggu lalu.

Sementara itu bandar Kota Bharu mengalami kesesakan lalu lintas begitu teruk pada Khamis, Sabtu lalu dan hari ini.

Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit pada hari biasa bertukar kepada lebih sejam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan