Lawan Anwar sama seperti lihat hantu

Puad Zarkashi
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/en/6/6c/Anwar_Ibrahim_speaking.jpgAda orang kata, kalau nak tengok hantu, kita tidak boleh nampak dengan cara biasa. Kena tengok cara menonggeng. Tunduk ke bawah dan perhati melalui celah kaki. Maka nampaklah wajah hantu sebenarnya. Begitulah barangkali cara untuk melawan Anwar. Dia tidak boleh dilawan cara biasa. Kena lawan cara menonggeng juga.

Maksudnya, Anwar perlu dilawan dengan cara yang luar biasa iaitu pembongkaran, pendedahan, persepsi dan ketegasan. Jika tidak, Anwar dan konco-konconya naik minyak. Mereka sahaja yang betul, hakikatnya bergelumang dengan pembohongan, kepura-puraan dan lakonan.

Anwar adalah pelakon luar biasa. Pelakon boleh melakonkan apa sahaja watak. Daripada watak orang baik kepada watak orang jahat. Dia juga boleh melakonkan watak binatang, watak superman dan sebagainya.

Pelakon yang hebat boleh menangis mengeluarkan air mata penuh satu mangkuk atau melakukan aksi keras seorang hero penyelamat walaupun sebenarnya dia tidak pernah belajar silat, kungfu atau karate. Ada pelakon yang hidupnya bergelumang dengan skandal, tetapi dalam filem dia boleh melakonkan watak seorang alim atau guru agama.

Oleh itu watak sebenar pelakon tidak boleh dinilai ketika dia berlakon di atas pentas. Dia mesti dinilai ketika berada di belakang pentas. Inilah yang perlu dilakukan terhadap Anwar.

Banyak yang kita tidak tahu mengenai Anwar. Elok didedah mana mereka dapat duit dan siapa penaja utama. Betulkah mereka ada akaun khas di Bank Allianz. Jika benar, mereka tidak layak untuk bercakap soal keadilan, rasuah, integriti dan ketelusan.

Contoh terbaru lakonan hebat Anwar ialah demonstrasi haram Bersih 2. Kini perang persepsi mengambil tempat iaitu siapa menang dan siapa kalah. Siapa yang ofensif dan siapa yang defensif kesan daripada perhimpunan tersebut. Sekarang pihak penganjur termasuk Anwar cuba memutarbelitkan segala peristiwa sepanjang hari tersebut untuk mengelirukan rakyat. Bahkan mereka turut dibantu oleh Majlis Peguam yang menyalahkan para peniaga kerana menutup kedai yang menjadi punca mereka kerugian.

Persoalannya, apakah kayu ukur Anwar untuk mengatakan perhimpunan Bersih 2 berjaya dan mencapai matlamat? Apakah kerana perhimpunan itu berjaya juga diadakan walaupun sekatan jalan raya dan tangkapan dibuat beberapa hari sebelumnya?

Mungkin berjaya pada kaca mata Anwar kerana gas pemedih mata ditembak, lari lintang-pukang, riuh-rendah, ada yang cedera ringan, kedai ditutup, FRU lari mengejar, baling batu dan tangkapan dibuat. Anwar cuba mengambil kesempatan sekali lagi untuk berlakon walaupun kali ini kurang menjadi.

Anwar mungkin berpuas hati kerana peristiwa itu boleh dirakam dan dimanipulasi secara negatif. Lebih penting kejadian itu disiarkan di media asing dan boleh digunakan untuk memburukkan imej kerajaan. Niat asal Anwar dan konco-konconya untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bukan lagi matlamat utama. Jelaslah niat sebenar kenapa perhimpunan haram mahu dianjurkan di jalan raya. Cuma kali ini ia tidak sehebat perhimpunan Bersih 1.

Sebenarnya orang yang paling kecewa ialah Anwar. Beliau mungkin menyumpah dalam hati kerana matlamatnya sekali lagi gagal. Dia tersilap congak. Rakyat yang mahukan keamanan mengambil langkah ofensif lebih awal. Lebih 2,400 aduan polis dibuat membantah perhimpunan Bersih. Ia melibatkan semua lapisan masyarakat dan kaum sama ada orang kampung, peniaga, persatuan silat dan lain-lain.

Bahkan terdapat ancaman perhimpunan counter attack daripada Perkasa dan Pemuda UMNO. Tindakan pencegahan awal oleh pihak polis dan titah Yang di-Pertuan Agong memerangkap niat buruk Anwar dan Bersih. Akibatnya ruang pentas, tempoh masa dan skrip untuk Anwar berlakon terhad pada hari tersebut.

Justeru melawan cara luar biasa terhadap tindak tanduk Anwar perlu diteruskan. Sampai masanya Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk memutuskan siapakah pelaku sebenar dalam video seks yang disebarkan. Pemenang oskar tidak boleh menjadi pelakon terbaik selama-lamanya.

Akan sampai masanya lakonannya tidak lagi disukai, apatah lagi apabila skripnya semakin lemah dan pelakon-pelakon tambahan semakin bosan untuk berlakon bersamanya. Anwar sudah tentu akan terus berlakon untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Sebab itu siapa Anwar di belakang pentas perlu terus didedahkan. Anwar kini bimbang kerana lakonan Ambiga semakin hebat dan menyaingi lakonannya hingga ada segelintir orang Melayu khususnya Pas diperbodohkan. Anwar bimbang ini menyebabkan dia terus tercicir atau pun out of the race untuk menjadi PM. — U/M

* The writer is deputy minister for education and MP for Batu Pahat
* This is the personal opinion of the writer or publication. Detikdaily does not endorse the view unless specified.
-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan