Malaysia Dalam Proses Jadi Negara Polis ?

 Hadri Yaziz

PETALING JAYA, 5 JULAI: Sikap agresif polis menangkap rakyat membuta tuli, menjelang perhimpunan aman BERSIH 2.0 Sabtu ini memberi gambaran bahawa kerajaan membenarkan pasukan keselamatan itu membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden PKR, N. Surendren berkata perkara itu dapat dibuktikan dengan arahan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menahan aktivis- aktivis termasuk pemimpin Pakatan Rakyat yang tentunya bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) yang menjamin hak kebebasan bersuara.

"Jika polis mahu mengambil keterangan maka perlu ada kesalahan jenayah yang jelas baru polis boleh bertanya soalan. 

"Setakat ini tiada soalan, berucap di ceramah terus dapat notis. Cakap pasal Bersih terus dapat notis. Tidak berpelembagaan dan menentang undang-undang," jelasnya.

Sejak pelancaran BERSIH 2.0 tiga minggu lalu, lebih 150 orang termasuk pemimpin Pakatan Rakyat ditahan serta disabitkan dengan pelbagai akta semata-mata mahu menafikan tuntutan rakyat yang hanya meminta agar pilihan raya diadakan dengan adil dan bersih.

Terbaru enam orang aktivis termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terlibat dalam anasir subversif.

Walau bagaimanapun Perdana Menteri Najib Razak mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan sebagai langkah pencegahan bertujuan memastikan ketenteraman negara dikekalkan.

Mereka sebelum ini didakwa cuba untuk menghidupkan fahaman komunis dan menentang Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Susulan kejadian itu, Surendren yang juga peguam menyifatkan polis tidak lagi menghormati perlembagaan dan cuba untuk berperanan sebagai "negara polis".

"Apabila kuasa polis digunakan tanpa mengikut undang-undang, tapi dengan hanya menggunakan anggota, senjata dan kuasa. Ini perkara yang berlaku sekarang sebab semua yang ditangkap tidak melakukan sebarang jenayah," ujarnya lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan