Misteri dakwat kekal: Siapa bohong... SPR atau kabinet?

Ahmad Tajdid
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgVvb_SfwEOKSCaRdwAQcm7hlNLIn5AnXNhtzryne_6bSig3tLsh_5j105LpRj4TE1jyEAlXGj9CSEYN3kwq0fAKYiHr0F2KNDUM-TBd7wfiuFVMsLAQdjbu5uZTwbHJJHNgAlTz4BRCZE/s1600/botol+dakwat+hero+ink+lama.jpgSALAH satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan dakwat kekal kepada mereka yang telah membuang undi. Tuntutan penggunaan dakwat kekal ini telah disuarakan oleh Bersih bagi tujuan menghalang pengundian dua kali. Amalan ini telah dipraktikkan oleh beberapa negara termasuk India, negara pengamal demokrasi terbesar dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awalnya bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal ini. Malah kerajaan BN yang menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 turut mempersetujuinya.  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Raman Suliman dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 5 September 2007 berkata, keputusan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada PRU ke-12 (8 Mac 2008) bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

"Kita mahu rakyat percaya 100 peratus bahawa proses demokrasi sememangnya dilaksanakan di negara ini. Atas sebab itu, SPR menggunakan dakwat supaya tidak ada tuduhan di buat ke atas suruhanjaya itu walaupun memang tiada sebarang (asas) pun," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat.

Menjawab soalan asal Dato' Dr. Tan Kee Kwong (BN-Segambut), beliau berkata, SPR akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada PRU ke-12.

"Ini bermakna setiap pemilih akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi setelah namanya disahkan terdapat dalam daftar pemilih SPR yang digunakan untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun janji SPR dan kerajaan BN itu tidak kesampaian kerana hanya 4 hari sebelum PRU ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, negara dikejutkan dengan sidang akhbar bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Pada sidang media itu, Abdul Rashid mengumumkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu kerana kononnya terdapat pihak tertentu dari Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara dan merancang untuk mencalitkannya pada kuku pengundi di luar bandar bagi menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka.

Malah menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan kerana disyaki membawa masuk dakwat kekal tersebut bagi mensabotaj perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun tindakan SPR itu tidak disenangi anggota komponen BN khususnya Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada 5 Mac 2008 berkata, tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal sedikit sebanyak menjejaskan tanggapan baik pengundi terhadap kerajaan.

Menurutnya, walaupun SPR sebuah badan bebas, namun segala yang diputuskan oleh suruhanjaya itu sering disalah anggap sebagai keputusan kerajaan BN.

"Justeru tindakan (terbaru) ini juga akan dilihat sebagai kelemahan kerajaan sedangkan keputusan itu dilakukan oleh SPR," katanya kepada pemberita.

MCA turut menyatakan rasa kesal dan mempersoalkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian.

Pengerusi Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA Pusat, Wong See Wah berkata, SPR seharusnya mengkaji penggunaan dakwat berkenaan sebelum melaksanakannya dan bukan membatalkan cadangan pada saat-saat akhir.

"Kami juga marah dengan tindakan sesetengah pihak yang terlibat dalam penyeludupan dakwat kekal dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun sehari kemudiannya, komen-komen menyokong tindakan SPR itu mula dilaporkan media pro-BN guna mempengaruhi pendapat umum.
Baca selanjuutnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan