Pakatan mengadap Agong, mesyuarat tergempar Rabu


Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan mengadap Yang di Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memohon campurtangan baginda berhubung kepincangan dalam sistem pilihan raya di negara ini.
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali hari ini memberitahu satu mesyuarat tergempar akan diadakan pada hari Rabu ini untuk memperincikan perkara tersebut.

“Datuk Seri Anwar dah bercakap dengan (Presiden Pas) Haji Hadi dan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dari London dan ketiga-tiga parti bersetuju mengadakan mesyuarat tergempar Rabu ini dan kita bincangkannya secara terperinci.
“Kita pastinya akan memohon mengadap Yang Di Pertuan Agong sebelum 9 Julai ini supaya kita boleh mempersembahkan kes kita kepada Yang Di Pertuan Agong dan juga membawa bukti akan wujudnya penipuan dan kecacatan dalam proses pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” kata Azmin ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.
Sementara itu, PAS akan menghantar wakil dalam Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, yang akan turut  mengadap baginda.
Bagaimana pun, menurut Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, perhimpunan itu akan tetap diteruskan dan isu untuk membatalkannya tidak berbangkit.
“(Batalkan perhimpunan) itu tidak berbangkit sebab Bersih tidak batalkan,” katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Mohamad Sabu berkata, Pas berpendirian parti itu akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat NGO itu.
Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar kerajaan mengadakan rundingan dengan Bersih 2.0, yang mahu menganjurkan himpunan  pada 9 Julai bagi  memastikan kerajaan melaksanakan kpilihan raya bebas dan adil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan