PAS akan bongkar penyelewengan SPR

Ahmad Danial
BUKIT KATIL, 27 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, PAS Pusat akan membongkar kecelaruan SPR khususnya berkaitan daftar pemilih secara besar-besaran dalam masa dua minggu ini.

"Mesyuarat khas PAS Pusat yang berlangsung semalam memutuskan untuk membongkar penyelewengan dan kecelaruan daftar pemilih dengan menugaskan beberapa orang pakar IT untuk menjalankan tugas tersebut.

"PAS telah mengesan kecelaruan dan penyelewengan daftar pemilih dari dahulu lagi tetapi SPR tidak pernah mengakuinya, akhir-akhir ini barulah SPR mula mengaku," katanya.

Beliau berkata sehingga kini sekurang-kurangnya 17,000 nama pemilih dikenal pasti berada dalam daftar pemilih di dua tempat mengundi berasingan di seluruh negara.

"Bayangkan tuan-tuan 17,000 pengundi ini ianya jumlah yang besar dan kita sedang mengenalpastikan nama-nama pemilih yang lain sekarang ini.

"Semua ini adalah kelemahan dan penyelewengan yang mesti dipertanggungjawabkan kepada SPR sebagai badan yang bertanggungjawab kepada pengurusan dan pengedalian pilihanraya di negara kita," katanya pada ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Katil di pejabat PAS kawasan di sini malam tadi.

Beliau juga, berkata PAS kemungkinan besar akan mengadakan seminar antarabangsa bagi membongkar segala penipuan dalam daftar pemilih ini setelah semua data-data berkenaan diperolehi dalam masa terdekat.

"Kita mempunyai ramai pakar-pakar IT dan kita mempunyai sistem yang canggih dan berkesan untuk mengenalpasti penipuan dan penyelewengan dalam daftar pemilih.

"SPR tidak boleh berdolak dalik lagi dalam hal ini, jika bukan mereka siapa yang lagi yang melakukan kemungkaran dan penipuan dalam daftar pemilih ini," tegasnya.

Menurutnya, PAS juga konsisten menolak sistem biometrik dalam pengendalian pilihan raya di negara kita.

"Kita tetap yakin bahawa sistem celupan dakwat kekal lebih praktikal dan terbukti berkesan untuk mengatasi seseorang pemilih mengundi lebih dari sekali.

"Kita minta teh dia bagi kopi, kita minta celupan jari dalam dakwat dia bagi sistem biometrik, memang mereka sengaja tidak mahu menggunakan dakwat kekal," katanya lagi.

Beliau berkata, sistem biometrik terbuka kepada penipuan kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kad pengenalan yang menggunakan biometriknya sendiri sudah pasti boleh mengundi.

"Jadi kalau seseorang itu mempunyai 2 kad pengenalan dan ada nama dalam daftar pemilih di saluran yang berlainan di Dun sama atau berlainan, maka dia boleh mengundi," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan