Bahana halang jemaah solat di masjid

Lanh
MARHABAN Ya Ramadan. Umat Islam kini mula berpuasa, menunaikan Rukun Islam ketiga. Sebelum itu umat Islam Malaysia menyambut malam Nifsu Syaaban. Di kebanyakan masjid berlangsung bacaan Yasin beramai-ramai sebanyak tiga kali selepas solat maghrib.
http://jalinanmesra09.files.wordpress.com/2009/08/solat-jemaah.jpg
Berdasarkan pencarian saya di internet, amalan ini hanya berleluasa di tanah air kita dan tidak ada sebarang hadis yang menyuruh umat melakukannya, yang ada hanya hadis yang meminta ummah meningkatkan ibadat masing-masing.

Ada surau yang tidak diimarahkan malah jarang dilangsungkan solat waktu berjemaah di dalamnya juga turut ‘hidup’ pada malam tersebut. Berduyun-duyun orang datang, dan hampir pasti pada hujung majlis ada acara makan-makan. Demikian betapa aneh dan peliknya perangai orang Melayu dulu, kini dan didoakan tidak selama-lamanya amat mengutamakan kepercayaan ritual tradisi datuk nenek sedangkan perkara pokok dalam agama dijauhkan.

Ambil contoh ketika Himpunan Bersih 2.0 di ibu kota tempoh hari; kenapa umat Islam dihalang atau diperiksa terlalu ketat ketika mahu solat berjemaah zuhur dan asar di sesetengah masjid di ibu kota seperti yang berlaku di Masjid Jamek, Masjid Kampung Baru dan Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ada ayat al-Quran menyatakan: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut mengingati Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Maksud Ayat 114 Surah Al-Baqarah)

Mengenai perbuatan menghalang umat Islam daripada menggunakan masjid untuk mengingati Allah ini, penulis pernah mengikuti ceramah beberapa ustaz yang memberi peringatan kepada jawatankuasa masjid daripada menghalau jemaah Tabligh yang bermarkas di rumah Allah itu. Kata ustaz-ustaz berkenaan jika tidak boleh berdakwah mengikut cara orang Tabligh, usah pula mendapat kemurkaan Allah dengan menghalau orang yang mahu beribadat di masjid.

Jika jemaah Tabligh yang mahu bermukim tiga hari malah ada sehingga 40 hari tidak boleh dihalau dari kawasan masjid, maka bagaimana beratnya pula dosa tidak membenarkan orang solat dalam masjid. Apabila hal ini berlaku, pada hari Himpunan Bersih itu saya perhatikan, ada peserta himpunan yang bersolat di celah-celah bangunan termasuklah yang melakukannya secara berjemaah di bawah pokok kawasan berumput di depan Menara Maybank.

Selain orang berpakaian biasa tidak dibenarkan masuk masjid untuk solat, mereka yang berpakaian kuning apatah lagi berbaju-T Bersih menghadapi risiko ditangkap dan disumbat ke dalam trak polis yang sedang menunggu.

Kalau dirujuk kepada peristiwa penaklukan kota Makkah oleh Rasulullah s.a.w. pada tahun ke-10 selepas penghijrahan Baginda, antara tempat yang dijamin selamat kepada orang Quraisy Makkah adalah Masjidilharam. Ini menunjukkan bahawa masjid adalah kawasan selamat di mana orang dalamnya sepatutnya mendapat jaminan keselamatan. Oleh itu sewajarnya pihak berkuasa menjadi kisah ini sebagai panduan dalam mereka menangani sesuatu persoalan mengenai rakyat termasuklah ketika keadaan penuh gelora.

Dalam keadaan perang, bukan saja masjid diberi pengiktirafan sebagai kawasan selamat, rumah ibadat penganut agama lain juga adalah tempat selamat; jadi persoalannya mengapa dalam operasi menggagalkan Himpunan Bersih 2.0, pihak berkuasa dengan wewenangnya menghalang orang ramai daripada memasuki seterusnya solat dalam masjid?

Begitu sensitifnya sesetengah pihak dengan kemeja-T tertera perkataan ‘Bersih’ sehingga ada jawatankuasa masjid mengusir jemaah yang berpakaian demikian daripada menunaikan solat di masjid. Mengapa mereka berbuat demikian sedangkan ada jemaah memakai kemeja-T memaparkan perkataan lebih dahsyat malahan mempromosi bahan haram seperti sejenis minuman keras tidak pula mereka menghalangnya?

Apakah ‘Bersih’ itu lebih dahsyat daripada slogan tertentu dan jenama arak itu? Kenapa takut bersih kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman malah hati pun perlu sentiasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan