Bersih 3.0 Kami Tunggu Respons Putrajaya, Kata Ambiga



KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga memaklumkan bahawa pihaknya belum bercadang untuk menggerakkan gelombang Bersih 3.0 dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya kini hanya menunggu respons daripada Putrajaya berhubung lapan tuntutan Bersih 2.0 yang telah diketengahkan.

Ambiga berkata, walaupun kepincangan mengenai sistem pengurusan pilihan raya terus didedahkan dan diperkatakan namun pihaknya mengambil pendirian untuk “tunggu dan lihat” terhadap perkembangan terbaru yang akan diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam tempoh tiga bulan ini.

Pada 9 Julai lalu, Bersih 2.0 telah mengajurkan perhimpunan besar-besaran yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia yang turut disambut dibeberapa buah negara luar.

Jelas Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam , pihaknya kini hanya mahu SPR dan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang disifatkan boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Kita ambil pendirian tunggu dan lihat yang mana kita mahu SPR dan kerajaan mengambil tindakan yang serius dan melaksanakan lapan tuntutan kita.

“Kita tahu ada desakan yang mahu perhimpunan Bersih 3.0 diadakan tapi kita tidak pernah membincangkan perkara itu setakat ini... tiada perbincangan dan keputusan,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Ujarnya lagi, walaupun beliau diasak soalan sama berulang kali namun Ambiga tetap mempertahankan pendirian gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Seperti yang saya katakan kita mahu lihat reaksi SPR dan kerajaan terhadap lapan tuntutan kita.

“Sepatutnya semua tuntutan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan terutamanya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, rasuah dan akses media,” katanya.

Bersih 2.0 membuat lapan tuntutan agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malah, isu kepincangan sistem pengurusan pilihan raya yang hangat diperkatakan kini berhubung pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat  mendapat bantahan pelbagai pihak terutamanya kepimpinan Pakatan Rakyat.

Ia didakwa menjadi semakin meruncing apabila pemastautin tetap itu juga turut didaftarkan sebagai pengundi.

Namun dengan pantas perkara itu dinafikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendesak Najib memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar serius sekiranya tidak mahu berdepan dengan gelombang Bersih 3.0.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan