Beza wakil rakyat PAS dan Umno

YAAKUB DASAN
MENGIMBAS kembali keadaan politik tanah air, penulis mengajak pembaca menoleh kembali kepada suasana zaman silam khususnya mengenai gelagat kedua-dua parti politik Malayu terbesar iaitu PAS dan Umno.

Dalam pilihan raya umum pertama (PRU) 1955, BN (dahulunya Perikatan) berjaya 100 peratus mengalahkan PAS di Kelantan. Kerusi Parlimen ketika itu berjumlah lima dan Dewan Undangan Negeri (Dun) sebanyak 16 kerusi.

Lima kerusi Parlimen terbabit iaitu Kelantan Selatan, Kelantan Hilir, Pasir Mas, Kelantan Utara dan Kelantan Tengah. Tidak ada satu kerusi pun dimenangi PAS.

Demikian juga halnya dengan 16 kerusi Dun ketika itu meliputi Ulu Kelantan, Machang, Tanah Merah, Bachok Utara, Bachok Selatan, Pasir Puteh Utara, Pasir Puteh Selatan, Pasir Mas Utara, Pasir Mas Selatan dan Pasir Mas Tengah.

Selain itu Tumpat Utara, Tumpat Selatan, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Tengah, Kota Bharu Selatan, di mana kesemuanya dibolot Perikatan.

Ekoran kemenangan yang begitu tuntas diperolehi Perikatan, maka dalam PRU2, 1959 PAS yang pernah kecewa telah mengubah strategi. Persiapan di setiap kawasan pilihan raya disediakan dengan rapi.

Para pemimpin dan bakal-bakal calon turun padang melintasi sawah dan baruh lumpur melawat rumah-rumah rakyat dan pengundi. Mereka berusaha menerangkan mengenai pentingnya dasar pemerintahan negara.

Diperingatkan pengundi supaya lebih cermat dan berhati-hati ketika mengundi.

Pada pilihan raya tersebut daripada kesemua 10 kerusi Parlimen yang ditandingi (selepas ditambah), PAS mendapat 9, manakala Perikatan hanya satu iaitu Ulu Kelantan (Gua Musang).

Begitu juga dengan kerusi Dun yang telah ditambah kepada 30, PAS mendapat 28 sementara Perikatan hanya mendapat 2 iaitu Ulu Kelantan Timur dan Machang Utara.

Itulah sejarah yang berlaku. PAS sejak dari bawah pimpinan Tan Sri Mohd Asri Muda dan Dato’ Mohamad Nasir semasa kerajaan campuran 1974 dapat memerintah Kelantan bermula 1959 sehingga 1977.

Pada 1977, berlaku krisis politik PAS Kelantan yang mengakibatkan pentadbiran negeri berada dalam kucar-kacir. Kerajaan Persekutuan campur tangan dan Kelantan diperintah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Pada PRU6, BN memenangi 10 daripada 12 kerusi Parlimen, manakala PAS yang bertindak keluar daripada BN mendapat 2 kerusi.

Bagi kerusi Dun pula, 23 dimenangi BN, PAS (2) dan Berjasa (11).

Pada pandangan penulis antara sebab-sebab terjadinya demikian kerana banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Pihak yang selalu menang, biasanya tidak mengambil kisah sangat. Kalah atau menang sama sahaja. Tetapi bagi pihak yang kalah mereka bekerja kuat untuk menebus kekalahan.

BN di bawah pimpinan Tan Sri Mohamad Yacob berjaya mengalahkan PAS pada PRU6, namun disebabkan kurang berhati-hati telah ditewaskan PASSemangat 46 pada 1990, setelah memerintah negeri itu selama 12 tahun.

Namun begitu PAS di bawah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sekarang agak berbeza kerana ia dapat bertahan sehingga melewati 21 tahun.

Pemerhati politik berpendapat pertukaran kerajaan di bawah Tuan Guru Nik Aziz sukar dilakukan kecuali berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan hati rakyat.

“Cuma yang penting tok-tok wakil yang ada sekarang perlu turun padang berjumpa rakyat. Itu yang mereka mahu. Rakyat sebenarnya tidak berharap sangat belanja teh tok wakil.

“Kalau sekadar berjumpa mata dan bertanya khabar pun sudah cukup,” ujar seorang pengundi di Pasir Mas ketika ditemui penulis.

Menurut cakap-cakap penduduk, keadaan sekarang sudah bertukar fesyen. Semasa negeri ini di bawah BN, pemimpin-pemimpin PAS selalu mendekati rakyat untuk memikat hati mereka. Tetapi sekarang, ketika PAS menjadi pemerintah, keadaan sudah jadi terbalik.

Orang-orang BN pula dilihat mendekati rakyat untuk menjinakkan mereka.

Mereka datang bertanya khabar dan menyampaikan sesuatu atau bantuan di merata kawasan. Manakala sesetengah pemimpin PAS dianggap seperti ‘buat lembu kenyang sahaja’.

Penduduk mendakwa bukan semua wakil rakyat PAS berkelakuan seperti itu kerana ramai yang bekerja keras tanpa mengira masa.

Cuma berbezanya wakil rakyat PAS mudah ditemui di masjid dan madrasah.

Apabila ada kematian mereka juga turun sehingga ke lubang kubur.

Ketika solat jenazah mereka menjadi imam. Inilah perbezaannya yang dirasai penduduk Kelantan sekarang.

■ Penulis ialah bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, The Sun dan koresponden akhbar luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan