Dituduh Anti- Cina, Kontraktor Melayu Pertahan Guan Eng


PETALING JAYA, 3 OGOS: Parti MCA Pulau Pinang dibidas Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMPP) kerana memainkan sentimen perkauman dengan menuduh Ketua Menteri sebagai anti- Cina hanya kerana meluluskan pemberian tender kepada kontraktor Bumiputera.

Hakikatnya, Lim Guan Eng meluluskan tander tersebut menerusi sistem tender terbuka dan bukannya secara rundingan terus seperti yang diamalkan kerajaan UMNO BN sebelum ini.

Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang sebelum ini menuduh Guan Eng sebagai anti-Cina dan tidak mengutamakan kontraktor berbangsa Cina dalam pemberian tender- tender milik kerajaan negeri.

“Nampaknya MCA begitu jahil sekali kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri.

“Ini termasuk yang melebihi harga RM200,000.00 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti,” kata Pemangku Yang Di Pertua PKMPP, Dato Izham Merican dalam satu kenyataan media semalam.

Dalam blog MCA pada 29 Julai lalu, Tan mempersoalkan kenapa kontraktor-kontraktor Cina di negeri itu tidak mendapat walaupun satu projek dari Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri dan sebaliknya kesemua projek diberi kepada kontraktor Melayu, Bumiputera dan India Muslim.

Beliau merendah-rendahkan kebolehan kontraktor-kontraktor Bumiputera dengan mempertikaikan kemampuan mereka menyiapkan projek-projek yang diberi.

Tan dalam blog itu juga menuduh Lim dan DAP mengenepikan kepentingan masyarakat Cina sejak mengambil alih pentadbiran negeri Pulau Pinang.

“MCA harus ingat bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, begitu juga di kalangan masyarakat Cina sendiri," tegas Izham.

Beliau juga menjelaskan menerusi sistem tender terbuka pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengenepikan kaum lain.

“Saya sebagai Timbalan Yang Di Pertua dan Pemangku Yang Di Pertua telah berjumpa dengan Ketua Menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh Ketua Menteri.

“Ini membuktikan sikap profesional beliau kerana tidak mencampur aduk hal politik dan tidak memilih kaum untuk membantu dan selalu bercakap berdasarkan fakta dan ini amatlah disanjungi," tambahnya.

Izham yang mewakili kontraktor yang bernaung dibawah PKMPP berkata, sikap dan pendekatan Guan Eng yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran Ketua Bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini, adalah kepimpinan yang terpuji.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Ketua Menteri yang telah pun berusaha dan telah mengatasi masalah-masalah yang dikemukakan oleh pihak persatuan," katanya lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan