Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya bahawa perpecahan Melayu dan Islam di negara ini disebabkan kelemahan kerajaan, yang berpunca dari amalan rasuah dan tidak amanah.
“Rasuah ini siapa pun akan marah. Sebab itu saya katakan yang lemah ialah kerajaan kerana rasuah dan tidak amanah. Dari situlah wujudnya kacau bilau dalam negara,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.Bercakap dalam satu forum di Shah Alam baru-baru ini, Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ada mengingatkan Perdana Menteri, Najib Razak tentang kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.
Malah beliau turut mendedahkan pernah menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat tanpa mengemukakan empat saksi.
Ia katanya, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu-Islam.
Namun Mufti paling kanan di Malaysia dan pernah diberi gelaran sebagai ulama Pro Umno ini berkata, nasihat itu,tidak dihiraukan Mahathir.
Malah beliau turut memberi tiga nasihat kepada bekas Perdana Menteri selepas Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi , namun kesemuanya ditolak.
Ketika ditanya kenapa beliau kini dilihat berani mengkritik kerajaan, Harussani berkata, ia adalah menjadi kewajipan setiap mufti untuk menegur pemerintah.
“Kalau tak berani tegur, jangan jadi mufti. Sebab akhirnya nanti, di belakang-belakang (kerajaan) pun, kita akan kritik juga,”
“Sudah 54 tahun negara merdeka, tapi kedudukan ekonomi orang Melayu dan orang Islam masih ketinggalan. Ada pula yang salah anggap dengan apa yang saya katakan. Inilah dia masalahnya pemimpin-pemimpin Melayu,” katanya lagi.
Mufti yang dilihat lantang dalam isu Melayu-Islam itu menambah, kedudukan setiap rakyat di negara ini akan terbela dan terpelihara sekiranya semua pihak kembali kepada perlembagaan.
“Semua akan terbela jika semua faham dengan perlembagaan. Tak perlulah sampai nak diada-adakan perlembagaan yang baru. Untuk negara ini, kalau kita kembali kepada perlembagaan, semua akan selamat,” kata beliau.
wajar komentar itu didedahkan oleh seorang mufti. jika orang kecil, mereka tak nak dengar. rasanya puak umno tak mahu dengar teguran mufti, sebab mereka lebih suka dengar teguran artis. dengan sebab itulah caca-marba politik melayu ini semakin parah. jika kembali kepada undang-undang sebenar, tak adalah buka file kes yang karut marut. kini nama melayu dah rosak teruk dek kerana tak ikut undang-undang, jika mufti tegur pun tak nak dengar, mereka memang layak menerima balasan di akhirat kelak.
BalasPadam