Hata Wahari Lancar Harian Malaysia Esok

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Akhbar online Harian Malaysia yang diterajui bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan, Mohd Hata Wahari, setelah dipecat kerana mengkritik media kawalan Umno itu, akan muncul secara rasminya esok.

Hata berkata, akhbar elektronik dengan slogan “Beretika dan Bertanggungjawab” itu akan memberi fokus kepada permasalahan rakyat selain membongkarkan setiap isu yang dialami.

Menurut Hata, akbar terbabit juga akan dibuat dalam versi Bahasa Malaysia demi memudahkan informasi disampaikan kepada rakyat keseluruhanya.

“Buat masa sekarang, kita memang sudah ada portal Harian Malaysia tapi ia hanya kerangka yang mana ia sudah mula sejak 1 Julai lalu.

“Dan, sekarang kita sedang mengatur akhbar elektronik, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos (esok) bersama dengan portal rasmi kita,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Buat masa ini, kita akan buat akhbar elektronik sebab belum dapat permit untuk cetak akhbar.

“Kita punya berita yang disiarkan nanti adalah secara percuma,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai liputan akhbar itu, Hata berkata ia adalah “seratus peratus mengenai masalah rakyat.”

“Kita fokus kepada masalah rakyat, kalau ada politik itu tidak banyak . . . kita nak fokus kepada masalah rakyat di bawah dan kita akan bongkarkannya.

“Kita tahu apa banyak masalah rakyat di luar sana, saya sudah berbelas tahun bekerja dengan Utusan Malaysia dan saya tahu apa yang berlaku,” katanya.

“Media arus perdana tidak telus dan cuba menyembunyikan apa yang berlaku, sebab itu kita mahu membongkar apa yang berlaku di bawah,” katanya yang memegang jawatan sebagai ketua editor.

Jelasnya lagi, pihaknya akan membuat liputan di seluruh negara yang mana setiap negeri akan ada seorang wartawan.

Oleh itu sebarang maklumat atau informasi yang ingin disalurkan boleh terus melawat www.harianmalaysia.my.

Menurut portal rasmi Harian Malaysia, akhbar elektronik itu adalah berbayar dan pembaca dikenakan bayaran RM10 untuk langganan sebulan, RM60 untuk enam bulan dan RM120 untuk setahun.

Bagaimanapun, kata Hata, pembaca boleh akses secara percuma buat sementara waktu.

Selain Hata, Mohd Laile Wahari dan Mohd Shawal Wahari juga merupakan orang yang terlibat dalam membangunkan Harian Malaysia sebagai Pengarang (Pengurusan) serta Pengarang (Editorial).

Manakala penasihat editorial Harian Malaysia itu pula membariskan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemimpin veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Kita juga akan meminta mereka untuk menulis dalam Harian Malaysia,” kata Hata.

Harian Malaysia mempunyai beberapa kolum seperti mana yang akhbar-akhbar tempatan lain termasuk politik, berita semasa, pendapat dan kolum, komuniti, wawancara, isu, hiburan dan sukan.

Selain itu, ia juga turut mempunyai satu ruang khas dinamakan “Awang Sulung” yang akan mengulas isu-isu semasa.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan