Islam tertegak atas dalil bukan sentimen

Mohamed Hanipa Maidin
NAIB Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak bersetuju dengan pendirian Mufti Pulau Pinang berhubung isu larangan membaca al-Quran menggunakan speaker di masjid.
Setakat yang saya ikuti laporan di akhbar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dilaporkan bersetuju dengan pendirian Mufti Pulau Pinang.

Mufti Negeri Perlis juga bersetuju. Tuan Guru Nik Aziz dan Dr Asri menyokong Mufti Pulau Pinang berdasarkan dalil dari nas naqli iaitu Hadis Rasulullah s.a.w. Sehingga kini kita tidak tahu dalil apa yang Zahid Hamidi gunakan untuk tidak menyokong pendirian Mufti Pulau Pinang.

Adakah hanya pendirian itu datangnya dari negeri yang bukan ditadbir BN, maka Umno diarah menentangnya semata-mata untuk menentang biarpun tanpa sebarang dalil?

Untuk Zahid Hamidi dan Umno, sayugia untuk kita ingatkan bahawa politik menentang hanya semata-mata menentang bukanlah politik mentaliti pemimpin kelas pertama. Itu politik pemimpin tak ada kelas!

Keduanya kita juga ingin mengingatkan Umno bahawa isu ini melibatkan soal hukum Islam mengenai prinsip ibadah dalam Islam. Membaca al- Quran adalah satu ibadah.

Bagaimanapun adakah hanya kerana ia ibadah maka kita boleh melakukannya sesuka hati tanpa mengikut panduan dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.

Untuk Umno kita ingin ingatkan ada dua kaedah atau prinsip yang mereka harus faham.

Pertamanya para ulama Islam telah menggariskan kaedah bahawa dalam soal ibadah “sesuatu ibadah itu adalah dilarang kecuali ada nas yang membenarkan”.

Kita berpuasa di bulan Ramadan kerana ada nas. Kita berpuasa sunat Isnin dan Khamis kerana ada nas. Meskipun kita seorang yang kuat berpuasa kita tidak boleh berpuasa pada hari raya kerana tiada nas membenarkan kita berbuat demikian.

Hal yang sama berlaku di dalam isu membaca al-Quran dengan menggunakan speaker di masjid khususnya di waktu dinihari sewaktu manusia sedang berehat - ada nas yang melarang hal tersebut. Jika mufti tidak bersandar nas, apa relevannya jawatan mufti?

Prinsip bahawa “sesuatu ibadah adalah dilarang kecuali ada nas yang membenarkan” adalah penting kerana tujuan ibadah adalah ‘taqarrub ilallah’ (mendekatkan diri kepada Allah) sebab itu ianya hanya boleh dibuat jika ada nas yang jelas. Siapakah yang lebih layak untuk memberi tunjuk ajar kepada kita dalam urusan ibadah jika bukan Rasulullah s.a.w.?

Prinsip ini amat penting untuk diteliti bagi menutup rapat segala pintu bidaah dan khurafat.

Untuk Zahid Hamidi dan Umno saya ingin mencadangkan beliau membaca buku karangan Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali bertajuk Laysa min al- Islam - satu buku yang mengupas dengan baik berhubung isu bidaah.

Kalau Zahid tidak boleh memahami bahasa Arab beliau bolehlah membaca terjemahan buku tersebut dalam bahasa Inggeris dengan tajuk ‘Within the Bounderies of Islam - A Study on Bid’ah’.

Dalam buku tersebut antara lain Sheikh Ghazali menukilkan kisah di mana seorang yang duduk di sebelah Ibnu Umar r.a. telah bersin dan mengucapkan Alhamdulillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Ibnu Umar r.a. lantas menegur orang tersebut dengan nasihat berikut; “Ini bukanlah cara Nabi Muhammad s.a.w. ajarkan kepada kami apabila kami bersin. Rasulullah s.a.w. hanya mengajar kami untuk sekadar mengucapkan ‘Alhamdulillah’.”

Sheikh al-Ghazali menyatakan; “Ibnu Umar r.a tidak berdiam diri berhubung tambahan yang dibuat yang mungkin bagi setengah orang tidak ada mudaratnya dan Ibnu Umar r.a. memilih untuk menegur dan menasihati orang tersebut agar perbuatannya masuk dalam linkungan yang dibenarkan oleh Islam tanpa penambahan dan pengurangan.”

Al-Ghazali seterusnya menyatakan; “Jika sekiranya pintu tambahan ini dibiarkan terus terbuka, mereka yang melampau akan menambah kata-kata yang lebih panjang lagi apabila seseorang bersin. Bidaah dalam perkara sekecil ini akan membawa kepada bidaah dalam perkaraperkara yang lebih besar lagi.”

Dalam perkara yang melibatkan soal bukan ibadah prinsipnya berbeza iaitu “sesuatu perkara itu adalah dibolehkan (ibahah) melainkan ada dalil yang melarangnya”.

Prinsip inilah yang menjadikan Islam terus relevan pada setiap masa. Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam bukan agama yang sempit, ortodoks dan tidak menerima perubahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan