Kek dan Biskut Raya Haram?


JOHOR BAHRU, 8 OGOS: Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba awal bulan depan, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati ketika membeli kek dan biskut raya, kerana dikhuatiri produk yang dibeli menggunakan mentega tidak halal, ‘Golden Churn Creamy Butter’.
Mentega 'Golden Churn Creamy Butter'
Sebulan lalu, orang ramai dikelirukan dengan isu terdapatnya DNA babi dalam mentega dari New Zealand, ‘Golden Churn Creamy Butter’. Kenyataan dari JAKIM pada 30 Jun lalu menyatakan tidak terdapat DNA babi dalam mentega ini sedangkan Majlis Islam Sarawak dalam kenyataan pada 28 Jun lalu mengesahkan mentega ini haram disebabkan adanya DNA babi. Kekeliruan berkaitan status mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ akhirnya terjawab apabila, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut portal Berita Harian pada 3 Ogos 2011 telah mengesahkan bahawa Golden Churn Creamy Butter ada mengandungi DNA babi dan ianya haram dimakan oleh umat Islam.

Kes mentega Golden Churn ini turut mendapat perhatian daripada pengusaha-pengusaha kek lapis di Sarawak. Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit berkata kepada portal Berita Harian pada 3 Ogos 2011, “Kek lapis yang dibuat di negeri ini adalah halal kerana kami tidak menggunakan produk itu lagi sejak setahun lalu.” Ini berikutan orang ramai mempersoalkan sama ada kek lapis itu menggunakan produk ‘Golden Churn Creamy Butter’ atau tidak selepas ia dilaporkan mengandungi DNA babi, menyebabkan ramai pembeli telah membatalkan tempahan buat sementara untuk memastikan status halalnya.

Turut memandang berat hal ini, Tn Hj. Dzulkefly Ahmad selaku Penyelia Pusat Aduan Rakyat Gelang Patah, menasihatkan pembeli supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan terlebih dahulu bertanya kepada pengeluar kek atau biskut raya yang berada di pasaran sekarang berkaitan jenis mentega yang digunakan.

“Pembeli mahupun ejen pengeluar turut dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa menjual atau membeli apa jua jenis kek dan biskut di pasaran dikhuatiri termakan produk daripada DNA babi ini. Juga kepada para pembuat kek dan biskut raya menjelang Aidilfitri ini, masih banyak lagi pilihan mentega lain di pasaran yang lebih terjamin halal. Jadilah pengguna orang Islam yang menitik beratkan tentang makanan kita,” kata beliau.
-Nusajayakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan