‘Membaca’ Najib menjelang PRU13

ZAMSHA
http://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2011/08/Najib-Razak.jpg
AWAS! Ketika semakin ramai yang beranggapan PM Najib Razak kian lemah dan tertekan, beliau sebenarnya sedang menyusun strategi ampuh bagi membolehkan tangannya terus bergayut di dahan kuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.


Najib tentunya tidak mahu menyalin nasib yang menimpa Khir Toyo; daripada seorang Menteri Besar yang paling bergaya bertukar status 360 darjah, menjadi Ketua Pembangkang dan kini hanya menjadi Adun biasa.

Pembedahan lutut yang sedang dijalaninya sekarang ini di Hospital Kuala Lumpur (ketika rencana ini sedang ditulis) merupakan satu isyarat jelas. Beliau akan kembali ke tengah padang politik tanah air dengan lutut yang lebih bertenaga untuk “menendang” sesiapa sahaja yang difikirkan wajar oleh beliau untuk ditendang.
Semua pihak harus berawas dan pesanan ini tidak terkecuali ditujukan kepada orang nombor dua; Muhyiddin Yassin. Segera ikrar dan zahirkan setia, atau hanya menghitung masa untuk menjadi tokoh terbuang seperti yang pernah menimpa Timbalan Perdana Menteri @ Timbalan Presiden Umno sebelum ini seperti Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim.

Percayalah dengan lutut yang lebih bertenaga, Najib bukan sahaja boleh mengambil sepakan penalti dalam acara futsal tetapi beliau juga mampu memanfaatkan untuk kepentingan politik beliau. Najib akan bergerak lebih selesa untuk merancang strategi politiknya.

Harus diingat Najib bukanlah begitu naïf untuk disingkir sesuka hati. Najib sudah mula mengorak langkah. Dua buah negeri paling utara iaitu Perlis dan Kedah sudah dikunjungi Najib dalam gerak awal beliau untuk memukul gendang pilihan raya umum.

Bagi memudahkan pergerakan menjelajah ke seluruh negara untuk mencari sokongan di peringkat akar umbi, Najib sekali memerlukan lutut yang sihat bagi melancarkan kembara politiknya.

Tradisi menjelajah ke seluruh negara oleh Perdana Menteri @ Presiden Umno sebelum ini bagi meninjau sokongan rakyat sebelum PRU dijelmakan diteruskan oleh Najib dengan penuh semangat dan iltizam.

Sepasang lutut yang sihat akan memudahkan segala-galanya. Lawatan ke negeri-negeri ini juga dikira sebagai acara pusingan akhir sebelum beliau mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Cakap-cakap umum pergeseran fikrah antara Najib dan timbalannya merupakan satu perkara yang tidak boleh diremehkan begitu sahaja. Pergeseran itu mungkin ada benarnya dan mungkin juga sebuah lagi filem pendek yang diarahkan oleh Najib dan dilakonkan sendiri oleh beliau dan timbalannya.

Gagasan 1-Malaysia yang dibawa Najib didakwa oleh banyak orang cuba diperkecilkan oleh Muhyiddin yang khabarnya lebih mendahulukan Melayu. Atau, mungkinkah imej yang sedang disarung Muhyiddin sekarang merupakan persefahaman belakang tabir antara Najib dengan Muhyidin bagi menjamin undi Melayu tetap di karung Barisan Nasional? Percaturannya kira-kira begini.

Najib akan ditempa sebagai pembela nasib semua bangsa bagi menjamin undi kaum bukan Melayu tetap berpihak kepada BN.

Sementara Muhyiddin sengaja dibiarkan berwatak ultra Melayu bagi memastikan undi Melayu tidak lari dan terus bertompok pada BN.

Baju yang sama juga sedang disarung oleh Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilihat cenderung kepada perjuangan para pelajar dalam beberapa isu kontroversi yang melibatkan pelajar. Bukanlah satu perkara yang mustahil apabila watakwatak seperti dimainkan oleh Saifuddin sengaja dicipta Umno dan BN bagi memperlihatkan kepada masyarakat umum dan bakal pengundi khususnya, betapa masih berbaki pemimpin Umno BN yang terus menyanjung ideaidea yang diperjuangkan rakyat.

Sikap Saifudin amat kontra sifatnya dengan Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin. Maka di sini, sewajarnya tidak ada manamana pihak yang terperangkap dengan permainan licik mereka ini.

Dalam kes Saifuddin misalnya, tanpa restu pimpinan tertinggi, dalam parti yang tidak begitu tinggi darjah demokrasinya seperti Umno, sudah lama rasanya beliau akan berhadapan dengan Lembaga Tatatertib jika dilihat seseorang itu berkayuh menongkah arus. Begitu jugalah dengan idea yang berbeza yang cuba ditonjolkan oleh Muhyiddin.

Terbaharu, sekarang ini boleh dilihat di mana-mana sahaja bergayut kain rentang yang meminta warga asing mendaftar dalam satu kempen yang diberikan nama sebagai pemutihan. Hampir pada setiap simpang dan lokasi strategik digayut kain rentang tersebut. Yang berwarna kuning pun ada.

Sekali lagi program yang digerakkan secara besar-besaran ini menuntut semua pihak untuk berfikir. Apakah ada cerita lain yang sedang bersarang dalam fikiran para pemimpin Umno dan BN sewaktu menganjurkan gerakan proses pemutihan yang berskala besar-besaran ini?

Satu persoalan yang memerlukan satu jawapan yang jujur, mengapakah gerakan pemutihan ini dilaksanakan sekarang ketika saat PRU ke- 13 semakin hampir? Lebih menimbulkan tanda tanya, ialah kewujudan perkataan “pendaftaran pemutihan secara biometrik” pada kain rentang tersebut.

Apakah perkataan biometrik yang terpampang pada kain rentang pemutihan itu sama atau mempunyai hubung kait dengan perkataan “biometrik” yang mahu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihanraya akan datang?

Apakah kemunculan perkataan “biometrik” di dua tempat yang berbeza hanyalah satu kebetulan atau memang ada perencanaan baharu yang tidak diketahui umum? Segalanya mungkin ya, dan mungkin tidak.

Segala kemungkinan yang menjadi persoalan itu tidak mustahil benar-benar berlaku dan ceritanya seakan beriringan dengan operasi pemindahan pengundi termasuk pendatang tanpa izin yang berlaku di Selangor sebagaimana didedahkan Harakah satu ketika dahulu.

Najib tanpa segan-silu kelihatan beriya-iya untuk menawan negeri yang mempunyai lubuk kekayaan, iaitu Selangor dengan apa cara sekalipun.

Negeri itu mempunyai segalagalanya yang membuatkan ramai saudagar-saudagar kroni yang sering meleleh air liur setiap kali bermimpi di waktu malam.

Salah satu cara yang mudah ialah dengan mewujudkan satu “perjanjian persefahaman” dengan pihak yang dipertanggungjawab menguruskan hal ehwal pilihan raya.

Semua ini barangkali sudah disimpan dalam poket para pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Hal ini perlu diberikan perhatian serius dan ditangani dengan bijak.

Jika tidak sejarah pemerintahan Terengganu selama hanya satu penggal cerah berulang semula di Selangor. Benar Umno dan BN sekarang ini bukanlah berada di posisi yang paling kuat untuk mempertahankan kerusi dan kedudukan mereka.

Namun ini tidak bermakna mereka hanya berpeluk tubuh menyerahkan diri pada ketentuan takdir. Najib sendiri pernah mengungkapkan tekadnya bagi merampas semula Selangor dengan apa cara sekalipun.

Jika di Terengganu mereka tergiur dengan minyak yang melimpah ruah, maka di Selangor gunung emas yang menjulang tinggi sentiasa menyebabkan tidur mereka asyik terjaga.

Usaha perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat bagi mempertahankan Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah pada pilihan raya akan datang.

Benar kata orang mempertahankan kemenangan merupakan satu tugas yang jauh lebih sukar daripada mendapatkannya.

Pakatan Rakyat juga perlu bersiap siaga bagi merampas semula Perak dan Terengganu.

Usaha yang berlipat kali ganda untuk mendapatkan Pahang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah perlu diatur dengan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan