PAS kunjungi Jais dan gereja 15 dan 16 Ogos

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: PAS telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, kedua-dua surat itu telah difaxkan pejabat beliau kepada kedua-dua badan itu pagi ini.

"Kami cadangkan kunjungan kepada Jais dibuat pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini. Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh itu, kami akan ke sanalah," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sehingga kini, PAS belum menetapkan siapa wakil mereka ke pertemuan itu namun Mustafa berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak akan dapat bersama kerana sudah ke luar negara.

"Besar kemungkinan ia akan diketuai oleh Timbalan Presiden Haji Mohamad Sabu di samping saya dan beberapa yang lain," kata Mustafa.

Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tindakan Jais memeriksa gereja itu telah mendapat reaksi yang panas dari pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan