Pasang atau kibar bendera sudah patriotik?


Lanh
HUJUNG Ogos ini berlaku suatu ‘keunikan’ kerana Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan jatuh pada tarikh hampir sama. Jadi kepada pembaca diucapkanlah Selamat Menyambut Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan negara yang ke-54. 
http://mejakerusi.files.wordpress.com/2010/08/2811733164_0f6d8295b6.jpg
Tanggal 31 Ogos datang lagi, dan sekali lagi pemimpin negara berbuih mulut mendesak rakyat mengibar Jalur Gemilang termasuklah di kenderaan. Namun sambutan pemilik kenderaan (setakat artikel ini ditulis pada 22 Ogos) terlalu hambar.

Semalam (21 Ogos) ketika saya ‘berkereta’ hampir sehari suntuk termasuk menempuh perjalanan di lebuh raya Utara-Selatan, saya hanya nampak sebuah teksi dengan sebuah bendera kecil di bumbungnya. Pemilik kenderaan nampaknya tidak peduli untuk memasang bendera. Kenapa?

Dulu, seorang menteri berkata, tidak kibar bendera bermakna tidak patriotik, tidak sayang dan cintakan negara. Jadi adakah ini bermakna semakin ramai rakyat tidak patriotik kepada negara ini?

Memang betul, mengibarkan bendera pada hari kebangsaan adalah antara petanda bersifat patriotik. Bagi saya mereka yang bertindak begitu (memasang bendera) sudah berada di landasan yang betul namun saya kurang senang dengan sikap sesetengah orang atau pihak yang mengada-ngada, menunjuk-nunjuk dan membazir dalam perlakuan mereka seperti memasang sehingga 40 bendera di bumbung kereta, membuat bendera Malaysia paling panjang atau terbesar di dunia dan membuat kolam berlambangkan bendera Malaysia yang terbesar.

Saya tidak tahulah kecenderungan ini diajar oleh siapa, tetapi bagi saya cukuplah wahai pemimpin dan petugas media massa, janganlah lagi ‘memberi muka’ sangat kepada orang yang gilakan publisiti murahan ini. Cukuplah, janganlah nak memperbanyak lagi usaha memecah rekod tidak berfaedah seperti membuat ketupat paling besar di dunia, membakar lemang terpanjang di dunia dan menjahit bendera Malaysia yang terpanjang di dunia dan kemudian memasangnya di Tembok Besar China!

Bagi saya cukuplah memasang bendera kecil, tetapi seseorang itu tahu menjalankan peranannya sebagai rakyat yang bertanggungjawab kepada agama, negara, bangsa dan keluarga, setiap orang yang telus dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing sudah memenuhi kehendak itu.

Seorang guru bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Tetapi jika kerap ponteng, tidak menjalankan amanah, menyemai benih kebencian di sekolah, dia bukan saja tidak patriotik, tetapi dia seorang pengkhianat.

Dia tetap seorang pengkhianat sekalipun dia mengibar sebuah bendera besar di depan rumahnya sempena Hari Kebangsaan. Seorang pemimpin bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah.

Pemimpin adil yang takut balasan Allah SWT yang disegerakan di dunia dan akhirat adalah mereka yang patriotik.Pemimpin perasuah, kaki kroni, kaki temberang, kaki ‘jail’kan orang tidak bersalah, kaki maksiat dan pelbagai kaki lagi, tidak juga bersikap patriotik sekali pun mereka dengan ‘muka munafik’ mengibarkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan atau terpekik terlolong, menjerit ‘merdeka! merdeka! merdeka!’ Dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa, munafik agama dan kemungkinan besar syaitan bertopengkan manusia kerana merompak khazanah negara (perasuah), membeli atau menipu undi dalam pilihan raya sekalipun di depan rumahnya berkibar bendera Jalur Gemilang gergasi.

Seorang tukang sapu sampah bersikap patriotik jika dia tekun dalam pekerjaannya. Dia tahu tugasnya membersihkan kota dan bandar besar manfaatnya bukan saja dari segi keduniaan tetapi juga akhirat. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda antara cabang iman ialah membuang duri di jalanan.

Jadi seorang tukang sapu atau pencuci tandas adalah seorang yang patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Seorang tukang sapu atau pembersih adalah pengkhianat kepada agama dan bangsa jika dia gemar mencuri tulang, tidak amanah dan sebagainya sekalipun dia mengibar Jalur Gemilang dengan megah di motosikalnya.

Seorang ayah atau ibu bersikap patriotik jika menghabiskan usianya untuk mendidik anakanaknya agar jadi insan berguna yang patuh kepada Allah SWT.

Seorang ibu tidak dikelaskan sebagai patriotik jika dia mencampakkan anaknya ke dalam tong sampah atau membiarkan anak yang baru dilahirkan di tangga masjid. Sekalipun si ibu tadi mengibar bendera pada Hari Kebangsaan, berarak penuh gaya dan menari penuh lincah di pentas hiburan pada hari tersebut ataupun muncul di TV melaungkan ‘merdeka, merdeka, merdeka’, dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa dan negara.

Seorang wartawan dan penulis juga bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Semuanya dilakukan berpandukan hukum-hakam yang ditetapkan agama. Dia takut untuk menulis dengan tujuan mengampu, mengejar pangkat atau mencari nama seperti yang sering dititipkan orang - ‘aku menulis bukan kerana nama’.

Seorang penulis tidak ada nilainya, tidak ada langsung sifat patriotiknya, jika dia menerbitkan tulisan yang menghina agama dan bangsanya. Dia sebenarnya adalah pengkhianat sekalipun dia menguar-uarkan betapa besar jasanya dengan mengibar Jalur Gemilang di pejabat akhbarnya.

Seorang ustaz bersikap patriotik jika dia mengamalkan apa yang diajarkannya. Dia mengajar bukan untuk mengejar ringgit tetapi keredaan Allah SWT. Dia takut terjatuh dalam kategori golongan munafik apabila berceramah dan bercakap tidak sama perbuatan. Dia takut termasuk dalam golongan ‘cakap tak serupa bikin’.

Dia takut termasuk golongan ulama jahat yang mengejar dunia dengan segala keindahannya - pangkat, kemasyhuran, nama dan sebagainya. Ustaz jenis ini tiada sikap patriotiknya jika dia menyuruh 1,000 anak muridnya mengibarkan Jalur Gemilang.

Kesimpulannya, semua orang tidak patriotik jika lupakan Penciptanya - Allah SWT. Hanya orang yang taat perintah Tuhannya adalah orang patriotik kerana dia tahu Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan