Porak-peranda UMNO-BN, kedangkalan Utusan

Adil Mat Selamat
Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu masih terus kekal dengan agenda mendesak kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk melaksanakan reformasi menyuluruh sistem pilihan raya di Malaysia.

Kerajaan pula, selepas Bersih 2.0, walau pun cuba mencuci kekotoran – tungging terbalik kenyataan, janji-janji palsu, omong kosong, tindakan ganas polis, sikap SPR seperti suara UMNO – masih gagal meyakinkan rakyat.

Cadangan Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) dilihat masih tidak konsisten kerana sekali lagi, tunggang langgang kenyataan berbeza antara Menteri manakala SPR pula awal-awal lagi bersikap takbur enggan menerima sebarang keputusan PSC.

Matlamat UMNO-Barisan Nasional ini amat mudah untuk kita fahami jika diketepikan porak peranda propaganda mereka:

  1. Pihak berkuasa yang kononnya mempunyai bukti keganasan peserta Bersih 2.0, masih gagal mendakwa mereka yang melakukannya. Walau pun RTM dan segala TV yang dikawal oleh kerajaan BN telah berulang kali menyiarkan “bukti” keganasan itu, tiada siapa yang yakin kecuali mereka yang hidup di bawah tempurung.
  2. Kes gas pemedih mata polis yang ditembak ke dalam kawasan hospital Tung Shin Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu juga masih senyap walau pun keterangan saksi seperti Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Teo Nie Ching serta beberapa orang lagi telah diambil oelh pihak polis.
  3. Kes kematian Baharudin Ahmad ketika perhimpunan aman Bersih 2.0 masih gagal disahkan secara rasmi oleh pihak hospital mengenai punca kematiannya.
  4. Dolak-dalik Najib mengenai PSC dan pelaksanaan reformasi sistem pilihan raya masih tergantung. Malah pada masa yang sama, kes-kes manipulasi daftar pemilih dan undi pos semakin terserlah seperti pengundi mati yang masih hidup, pengundi dilahirkan dua kali, pengundi tentera berusia lebih 100 tahun yang masih aktif menjadi askar dan pelbagai penipuan lain.

Malah, dalam kes perbicaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja diadili di mahkamah tetapi juga sedang dijatuhkan hukuman saban hari oleh lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia dan TV serta radio milik UMNO-BN.

Kedangkalan Utusan

Dalam keghairahan mengaibkan Anwar, Utusan melalui pengarang kanannya Zaini Hassan tidak berasa malu untuk mendedahkan kecetekan minda dan kepandiran tentang seni budaya apabila menggambarkan Anwar yang sedang dibicarakan sebagai seorang ‘Renaissance man who likes ‘naked men’ (Insan Renaissance yang suka kepada lelaki bogel).

Kedangkalan wartawan Melayu ini yang hanya dapat melihat bogel dan kelucahan daripada kegemilangan seni zaman pembaharuan Eropah adalah amat memalukan dunia kewartawanan Malaysia.

Apakah itu sahaja pengetahuan yang mampu dipelajari oleh Zaini mengenai tamadun zaman Renaissence dan dari tokoh ilmuan era tersebut? Nampaknya keghairahan Zaini untuk mempelajari Renaissance amat terpilih, dan citarasa beliau amat ‘unik’ sekali.

Mungkinkah ada sesuatu yang tersimpan dan terbangkit keghairahan di hati wartawan Utusan itu apabila melihat ukiran “David” karya agung Michelangelo yang telah diiktiraf dunia? Atau dia tidak sedar bahawa karya teragung Leonardo da Vinci iaitu “Mona Lisa” juga lahir dari zaman Renaissance?

Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2011 dalam muka hadapan meletakkan tajuk ‘Anwar cari salah hakim’ yang bunyinya sangat prejudis kepada orang yang didakwa. Langsung tiada rasa hormat pada mahkamah yang sedang membicarakan Anwar.

Malah Utusan terus mempertikaikan pilihan Anwar untuk membela diri di kandang saksi. Ingin sekali kita bertanya, dalam kes seperti ini bukankah itu hak orang yang dituduh untuk memilih kaedah pembelaannya?

Adakah UMNO-BN yang perlu menentukan bagaimana pasukan pembelaan harus membela? Janganlah kita buat jenaka bodoh di bulan Ramadhan sebegini.

Dan bukankah pilihan Anwar itu juga sebagai gambaran bahawa mahkamah di Malaysia telah memberi hak seadilnya kepada orang yang dituduh? Atau UMNO sudah tidak tahu beza apa itu keadilan, apa itu gila kuasa?

Porak-peranda UMNO-BN

Namun, jelas sekali peluru-peluru ini tidak berisi dan terbabas dari sasaran. Ini menjadi tanda kepada satu tindakan yang amat terdesak dan bersimpang-siur dari UMNO.

Kesemua ini menjadi sangat signifikan dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat di mana, tindak-tanduk pemimpin tertinggi kerajaan termasuk instrumennya, harus berjalan dengan betul dan telus.

Dari aspek keselamatan, badan-badan seperti SPR, SPR, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Peguam Negara harus jelas dan mengikut sistem betul baik pada dasar dan pelaksanaannya.

Ketelusan dan akauntabiliti badan-badan penting inilah yang akan memastikan kejayaan dasar ekonomi, sosial dan pembangunan insan.

Malah tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa keadaan ini juga menjadi pentunjuk kepada karisma kepimpinan tertinggi pentadbiran negara kita iaitu Perdana Menteri.

Akibat dari salah tafsir, salah mendengar nasihat, salah urus dan ketirisan maka semua jabatan-jabatan ini tidak dihormati dan tidak mendapat kepercayaan dari rakyat.

Apa pun, dasar UMNO BN telah rosak sejak 50 tahun dahulu. Lidah rasminya seperti Utusan hanya memburukkan lagi keadaan.

Rakyat kini di persimpangan. Cara terbaik untuk memperbetulkannya ialah membuat perubahan besar. Berikan mandat kepada kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Siapa tahu, bila UMNO-BN duduk di kerusi pembangkang, mungkin mereka akan muhasabah diri dan akhirnya akur kepada amalan dan budaya demokrasi yang selama ini telah mereka pincangkan.

Pada masa itu, jika UMNO-BN kembali bertaubat atas kezaliman terhadap rakyat sejak lebih 50 tahun, mungkin budaya politik Malaysia akan benar-benar matang apabila semua pihak menghargai dan mengamalkan kebebasan, demokrasi dan keadilan serta hak dan peluang saksama. 
-Roketkini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan